25.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

RM200 juta diperlukan tangani bencana banjir Baling

Mesti Baca

KIRA-KIRA RM200 juta diperlukan bagi menangani kesan bencana serta kerja baik pulih kerosakan akibat banjir yang menjejaskan seramai 650 mangsa di Baling, Kedah minggu lalu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pembinaan dua empangan Sabo di Kampung Iboi yang kini dalam proses penilaian tender, dapat memperlahankan aliran air Sungai Kupang dari Gunung Inas, sekali gus mampu mengurangkan impak banjir.

Katanya, proses pembinaan dua empangan berkenaan sedang dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan bakal membabitkan kos RM20 juta.

“Kerajaan negeri telah mengadakan mesyuarat khas bersama pelbagai agensi berkaitan di bawah Kerajaan Persekutuan pada Ahad lalu, bagi membincangkan langkah menangani kesan banjir di daerah itu.

“Pembinaan Empangan Sabo bertujuan menyekat bahan yang hanyut bersama aliran air deras seperti kayu dan bongkahan batu yang boleh memusnahkan penempatan penduduk,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, selain pembinaan dua empangan terbabit, perkara lain diputuskan pada mesyuarat itu termasuk pelaksanaan rancangan tebatan banjir (RTB) Baling membabitkan tiga fasa.

Katanya, proses mengeluarkan tender bagi RTB Baling Fasa 1 dengan kos RM15 juta dijangka diselesaikan Februari tahun depan, manakala RTB Baling Fasa 2 dengan kos RM160 juta dalam proses penilaian tender.

Advertisements

“RTB Baling Fasa 3 pula dalam proses penyediaan kertas kerja untuk diangkat dalam permohonan bencana Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

“Pejabat Daerah Baling juga akan membaiki atau membina semula tiga titi di Kampung Padang Empang, Kampung Tanjung dan di jalan Kampung Iboi yang musnah atau rosak akibat banjir baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata, kerosakan cerun dan tanah runtuh yang dilaporkan di Kampung Kepala Bukit, Sekolah Menengah Agama (SMA) Yayasan Khairiah dan di Kampung Tualang juga akan diambil tindakan.

“Sebuah jambatan baharu akan dibina di Kampung Padang Cina dengan kos RM3 juta, selain sembilan titi konkrit akan dibina atau dibaiki di beberapa kampung.

“Semua projek ini di bawah tanggungjawab Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Kedah.

“Kerajaan negeri juga memberikan perhatian terhadap banyak aduan kerosakan infra termasuk tebing runtuh yang berlaku di beberapa lokasi di Baling, di mana berdasarkan penilaian kos membaik pulih kerosakan dan tebing runtuh itu dianggarkan sebanyak RM5.6 juta,” katanya.

Rabu lalu, kira-kira 650 mangsa dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Baling akibat banjir, selain menyebabkan kerosakan kepada infrastruktur di beberapa kawasan di daerah itu termasuk kediaman penduduk yang dimasuki lumpur. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Wanita perlu jaga darjat, jangan bergaduh kerana ‘buaya’

USAHAWAN selebriti, Datin Thalia Baiduri menitip pesan kepada semua wanita agar sentiasa menjaga darjat serta nilai diri masing-masing. Baginya tidak perlu...

Lagi Artikel Berkaitan