YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga asnaf di Kampung Iboi, Baling, Kedah yang terkesan akibat bencana banjir, baru-baru ini.
Istana Negara menerusi Facebook rasminya berkata, sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Sulit Kanan Seri Paduka Baginda, Kol (B) Datuk Nazim Mohd Alim, semalam.
“Seri Paduka menzahirkan harapan semoga kurniaan baginda itu dapat membantu mengurangkan beban mereka,” menurut kenyataan tersebut.
Seri Paduka turut bertitah, Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara yang diketuai Juruiring Tentera Udara baginda, Brig Jen Datuk Mohamed Zahari Yahya, untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir yang terkesan.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Baling, Supt. Shamsuddin Mamat dan Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Baling, Mohd Nasrun Md Suid.
Menurut hantaran itu lagi, Kampung Iboi adalah antara beberapa kampung di Baling yang terkesan akibat bencana banjir buruk baru-baru ini.
Untuk rekod, banjir dan fenomena kepala air pada 4 Julai lalu mengorbankan tiga nyawa selain menjejaskan 41 kawasan di daerah itu.
-EDISI9