PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau sama sekali tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan walaupun menerima pelbagai tekanan daripada negara barat.
Mengakui perkara itu berlaku terhadap diri beliau, katanya, Malaysia menyampaikan mesej tegas dan tetap menyuarakan dengan lantang tentang pendirian memperjuangkan nasib rakyat Palestin.
“Saya sama sekali tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan bagi memperjuangkan kebebasan buat Palestin daripada penindasan serta pembunuhan oleh rejim Zionis.
“Ini saya nak tekankan, saya terima banyak teguran, ugutan… saya sebut kamu salah pilih orang.
“Saya tegaskan Malaysia negara bebas dan merdeka. Malaysia akan kekal negara berdaulat yang kekalkan kebebasan dan kebebasan rakyat Palestin
“Hidup Palestin… Palestin Merdeka… Allahuakbar,” laung Anwar ketika berucap pada majlis Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil malam ini.

Kira-kira 17,000 rakyat terdiri daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO), pemimpin politik dan pemimpin pelbagai agama hadir pada himpunan terbabit.
Perdana Menteri berkata, beliau menjelajah ke negara-negara Islam bagi bertemu kepimpinan dunia Islam untuk menyatakan sokongan bagi menghentikan serangan rejim Zionis terhadap Palestin.
Katanya, dia menyampaikan mesej tersebut ketika bertemu Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman, Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi di Istana Al Ittihadiya serta Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Istana Vahdettin, Istanbul. – Edisi 9