KONTINJEN negara menamatkan saingan Sukan Para Asia Hangzhou 2022 dengan 39 pingat pada hari terakhir temasya berkenaan, hari ini.
Pingat terakhir yang dimenangi atlet negara adalah menerusi acara 1,500 meter (m) lelaki T20 (kecacatan intelektual) apabila Muhamad Nurdin Ibrahim meraih gangsa.
Keputusan tersebut menyaksikan kontinjen negara berjaya melepasi sasaran 35 pingat yang ditetapkan sebelum kejohanan bermula.
Secara keseluruhan, Malaysia mengumpul tujuh emas, 17 perak dan 17 gangsa untuk berada di tempat ke-12 dengan China unggul di tangga teratas dengan pengutan 214 pingat emas.
Pingat emas negara dituai dari kolam renang apabila Muhammad Nur Syaiful Zulkafli memenangi acara 100m kuak dada lelaki SB4.
Kem olahraga negara cemerlang apabila menyumbang tiga emas masing-masing menerusi Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi dalam acara 400m T20, Datuk Abdul Latif Romly (lompat jauh T20) dan Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru F220).
Noor Askuzaimey Mat Salim pula merupakan penyumbang emas tunggal dalam acara boccia BC4 sementara Nur Suraiya Muhamad Zamri juga unggul sebagai pemenang dalam acara ujian masa 1,000m berbasikal wanita B.
Atlet bertaraf dunia, Bonnie Bunyau Gustin seperti dijangka turut menghadirkan kilauan emas buat kontinjen negara apabila menang dalam kategori 72 kilogram (kg).
Antara sukan yang menyumbang pingat untuk negara adalah olahraga, badminton, boccia, berbasikal, boling padang, angkat berat, renang dan tenis kerusi roda. – Edisi 9