29.6 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

Halang tugas penguatkuasaan, tiga ahli politik antara ditahan

Mesti Baca

TIGA ahli politik antara empat ditahan kerana menghalang tugas penguatkuasaan ke atas sekumpulan petani di tapak projek Silver Valley Technology Park, Kanthan, Chemor, Ipoh, berkaitan kes pencerobohan tanah.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata mereka yang berusia 30 hingga 68 tahun serta seorang petani berumur 53 tahun, ditahan kira-kira jam 2.30 petang.

Katanya, mereka semua ditahan ketika operasi bersepadu diterajui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak yang turut disertai beberapa agensi lain termasuk badan berkanun kerajaan negeri selain polis berperanan menjaga keamanan sepanjang operasi.

Katanya, ketika operasi yang bermula sejak jam 10.05 pagi itu sekumpulan petani dan ahli parti politik menghalang petugas PTG Perak bagi menjalankan penguatkuasaan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965.

“Polis terpaksa melakukan tangkapan itu mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK) iaitu menghalang penjawat awam melaksanakan tugas. Satu laporan polis turut dibuat berhubung tangkapan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

Advertisements

Yahaya berkata pihaknya turut menerima satu laporan polis daripada PTG mengenai seorang perempuan yang disyaki anggota parti politik itu yang menghalang kenderaan PTG ketika operasi penguatkuasaan berkenaan.

“Kes ini turut disiasat mengikut Seksyen 186 KK kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. Operasi bersepadu ini berjaya dilaksanakan dan petani serta ahli politik yang berkumpul di kawasan operasi itu bersurai secara aman kira-kira 2.45 petang,” katanya.

Yahaya berkata pihaknya terkesan dengan beberapa siri video yang ditularkan di media sosial oleh parti politik berkenaan yang memaparkan insiden-insiden ketika penguatkuasaan itu dijalankan hingga menarik perhatian masyarakat umum.

Terdahulu, Parti Sosialis Malaysia (PSM) melalui kenyataan Setiausaha Agungnya, A Sivarajan mengesahkan empat individu termasuk pengerusi parti berkenaan, Dr Michael Jeyakumar Devaraj, 68, ditahan ketika sesi protes membabitkan sekumpulan petani dalam kawasan Parlimen Tambun itu.

Kenyataan sama turut menyebutkan, seorang aktivis PSM cedera termasuk patah gigi selain pendarahan teruk selepas didakwa dikasari seorang pegawai penguatkuasa PTG ketika bantahan itu. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Agamawan perlu hormati bidang kepakaran dan autoriti hukum

Oleh PROF MADYA DR MOHD ANUAR RAMLI MUTAKHIR ini timbul pelbagai isu berkaitan persoalan hukum dan melibatkan para agamawan. Para agamawan...

Lagi Artikel Berkaitan