33.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 15, 2024

Tempuh perjalanan beratus kilometer demi ‘jaga’ hati si kakak tua

Mesti Baca

HOBI membela burung kakak tua bukan sekadar memberi makan dan minum yang cukup, sebaliknya pemiliknya perlu berkorban masa serta menganggap haiwan peliharaan itu sebagai ahli keluarga sendiri.

Sebagai pemilik burung kakak tua juga, kebanyakan mereka sanggup menempuh perjalanan jauh ratusan kilometer untuk aktiviti ‘freefly’ atau ‘membebaskan’ burung peliharaan itu sebagai aktiviti riadah demi memastikan perasaannya sentiasa terjaga termasuk mengelak stres.

Menurut pemilik, burung kakak tua yang menghadapi stres boleh merajuk atau biasanya akan mencabut bulunya sendiri.

Namun, jika dijaga dengan rapi, memelihara haiwan ini adalah aktiviti yang menyeronokkan.

Seorang peniaga pakaian terpakai, Mohd Rozilan Mat Yusoff, 43, dari Alor Setar, Kedah berkata dia pada mulanya hanya menonton video di YouTube berkenaan penjaga serta pelbagai kandungan daripada pemilik burung kakak tua, malah terkejut kerana warga Malaysia turut terbabit t dengan hobi itu.

Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020, Rozilan bersama isterinya Steaphnie Saiful Ahmad Savaran, 33, mula berminat untuk membela burung kakak tua.

“Nak kata susah (membela burung kakak tua), tak susah dan hobi itu mengalahkan wang ringgit.

Steaphnie berkata, minat membela burung kakak tua sebagai hobi yang tidak dirancang, malah pernah kecewa apabila dua daripada tiga ekor burung kakak tua itu dicuri, pada Ogos tahun lalu.

“Kejadian itu tidak mematahkan semangat kami untuk meneruskan hobi ini dan membela lebih banyak burung kakak tua sebab sudah sebati dengan burung itu.

“Rasa sayang dengan kakak tua itu memang kekal,” katanya yang memiliki 10 ekor burung kakak tua pelbagai jenis berusia antara tiga bulan hingga tiga tahun.

Advertisements

Peniaga makanan, Mohamad Fakharuddin Mumfit, 35, berkata aktiviti’membebaskan’burung kakak tua secara berkumpulan juga secara tidak langsung dapat merapatkan silaturahim antara peminat serta pemilik haiwan peliharaan itu.

Mohamad Fakharuddin yang memiliki tiga ekor burung kakak tua berkata, minat membela haiwan peliharaan itu disifatkan sebagai satu hobi yang tidak mahal, jika dibandingkan dengan minat lain seperti mengubah suai kereta, yang penting kemahuan sendiri.

“Kalau ada yang minat (bela burung kakak tua), jangan takut, Insya-Allah boleh dan masa kena beri kepada burung itu, dilayan macam anak atau keluarga sendiri dan tidak boleh buat mereka stres,” katanya yang berasal dari Langkawi, Kedah.

Pemilik tiga ekor burung kakak tua, Fahmi Abu Bakar, 38, berasal dari Batu Pahat, Johor, berkata dia menggunakan kesempatan melakukan aktiviti ‘membebaskan’ haiwan peliharaan itu dengan beriadah bersama keluarganya.

Fahmi berkata program besar aktiviti’membebaskan’ kadangkala diadakan sekali setahun, namun tidak menjadi masalah kerana hampir setiap minggu pada Jumaat dan Sabtu, dia cuba meluangkan masa untuk melakukannya bersama keluarga di Johor.

“Tahun lalu Terengganu (acara besar), tetapi tiada masalah macam hari ini, saya sanggup datang (ke Perak) untuk beriadah bersama keluarga.

“Hari ini saya bawa mak, ayah, isteri dan anak (seorang) saya untuk tengok burung kakak tua freefly,” katanya.

Dia berpendapat, semua jenis hobi boleh dianggap mahal termasuk membela burung kakak tua, namun paling penting adalah kepuasan dinikmati masing-masing apabila melakukan sesuatu perkara.

Semua pemilik kakak tua ditemui pada program Silaturahim Santai Free Fly anjuran Perak Parrot Community yang diadakan di Iskandar Polo Club di sini, baru-baru ini.

Presiden Perak Parrot Community Mohd Fairul Mohd Mustafa, 40, berkata penganjuran program itu mengumpulkan hampir 200 orang termasuk pemilik serta peminat burung kakak tua dari seluruh negara. -Bernama

Advertisements

Terkini

Atlet kayak parah dirempuh pemandu mabuk, diseret 600 meter

ATLET kayak negara, Siti Nurul Masyitah Md Elias, 22, cedera parah setelah dipercayai dirempuh seorang pemandu mabuk di Lebuh...

Lagi Artikel Berkaitan