AHLI Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin diarah keluar dewan kerana didapati mengganggu penggulungan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Radzi diarah keluar dewan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas beliau enggan duduk dan mendengar penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia berkenaan kes melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu mula bangkit apabila Anwar berhujah berhubung pelepasan Presiden UMNO tersebut dan mendakwa Radzi turut melakukan perkara sama.
“Ini adalah sangkaan jahat, saya minta ditarik balik. Tiada kaitan dengan saya, sangkaan jahat 36 (6), tarik balik Perdana Menteri,” kata Radzi.
Anwar bagaimanapun berkata, beliau juga menjadi mangsa tuduhan yang mengaitkannya terlibat dalam pembebasan Ahmad Zahid.
“Saya dituduh campur tangan mengarahkan Peguam Negara, saya dituduh. Jangan lupa,” ujar Perdana Menteri.
Johari kemudiannya mengarahkan Radzi untuk duduk dan mendengar penjelasan daripada Anwar namun keadaan menjadi kecoh sebelum Ahli Parlimen Putrajaya itu diarahkan keluar dewan.
Rentetan daripada itu, semua ahli Parlimen PN termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengambil keputusan keluar dewan sebagai tanda protes. – Edisi 9