26.4 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

Murid dibenarkan pakai pakaian tradisi ketika aktiviti kebudayaan

Mesti Baca

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) menegaskan semua murid dibenarkan untuk memakai pakaian tradisi yang bersesuaian dan sopan sewaktu menghadiri aktiviti kebudayaan dan kesenian.

KPM berkata, pihaknya mengambil perhatian isu tular mengenai kebenaran pemakaian pakaian tradisi mengikut kaum dalam aktiviti kebudayaan dan kesenian yang membabitkan murid di institusi pendidikan bawah kementerian.

“Ini adalah berdasarkan kepada Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 3/1984: Garis Panduan Mengenai Aktiviti-Aktiviti Kebudayaan di Sekolah-Sekolah.

“Merujuk kepada isu tular yang dilaporkan oleh beberapa portal berita, pihak sekolah terbabit sudah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan perbincangan bersama wakil ibu bapa dan murid-murid.

“Penambahbaikan kepada penganjuran aktiviti yang dirancang juga dilakukan oleh pihak sekolah dan isu yang berbangkit dapat diselesaikan dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan.

Advertisements

Semalam, satu siasatan dilakukan oleh Jabatan Pendidikan Selangor ke atas sebuah sekolah di Selangor yang didakwa menghalang pelajar daripada berpakaian tradisional kaum lain ketika sambutan Merdeka.

Memetik laporan sebuah portal, pihak sekolah tidak membenarkan pelajar India memakai sari dan mengarahkan “tali suci” di pergelangan tangan ditanggalkan semasa menghadiri sambutan berkenaan, bagaimanapun pelajar Cina hanya dibenarkan memakai cheongsam atau hanfu.

Susulan itu, KPM menjelaskan, murid sekolah terbabit dibenarkan untuk memakai pakaian tradisi mengikut kaum masing-masing dan pakaian tradisi kaum lain.

“Kebenaran juga diberi kepada murid untuk memakai hiasan tambahan seperti gelang, rantai dan aksesori mengikut kesesuaian pakaian tradisi.

“KPM sentiasa menggalakkan pembabitan murid-murid dalam aktiviti kebudayaan dan kesenian yang bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini,” kata kenyataan itu lagi. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Selepas kopi, Richiamo kembang sayap dalam bidang peruncitan

SELEPAS berjaya membina jenama dalam perniagaan kopi, Kumpulan Richiamo melebarkan sayap perniagaan dalam peruncitan dengan membuka rangkaian kedai runcit,...

Lagi Artikel Berkaitan