LEBIH 3,000 pertubuhan dan persatuan yang berdaftar telah disenarai hitam serta dibatalkan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) sejak program pemutihan dilaksanakan pada 2021.
Ketua Pengarahnya, Mohd Nawardi Saad berkata, tindakan itu dibuat kerana didapati mereka tidak lagi aktif, wujud isu-isu pertikaian dalaman, selain berlaku pelanggaran undang-undang ditetapkan RoS di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).
Katanya, program pemutihan sejak dua tahun lalu itu masih berjalan dalam memastikan setiap pertubuhan dan persatuan yang didaftarkan aktif dengan pelbagai aktiviti seperti ditetapkan.
“Kebanyakan pertubuhan yang dibatalkan pendaftaran disebabkan melanggar Akta Pertubuhan 1966. Bagi parti politik pula setakat ini, hanya satu sahaja parti politik yang telah dibatalkan pendaftaran oleh RoS daripada 69 parti induk berdaftar dengan kita.
“Selain itu juga kita turut memantau jika ada pertubuhan yang dilihat menjejaskan ketenteraman awam. Jika terbukti melakukan kesalahan menyalahi undang-undang, kuasa Menteri Dalam Negeri akan digunakan untuk membatalkan pendaftaran pertubuhan itu,” katanya.
Katanya, terdapat sebuah parti politik yang telah dibatalkan pendaftaran baru-baru ini.
“Parti politk sekarang ada 69 dan baru-baru ini satu yang dibatalkan kerana ada pertikaian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti (GPPK) di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Melaka, di Ayer Keroh, hari ini.
Dalam pada itu, RoS turut melakukan pemantauan terhadap beberapa pertubuhan yang dikesan terbabit dalam kegiatan yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam.
pihaknya sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyalurkan dan berkongsi maklumat mengenai kegiatan itu sekali gus memantau aktiviti mereka.
Mohd Nawardi berkata, perbuatan yang didakwa menganggu keselamatan dan ketenteraman awam itu dikesan menerusi program pemutihan yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu bagi memastikan semua pertubuhan bergerak aktif dan positif.
“Kalau ada persatuan-persatuan yang bergerak dan telah dibuktikan boleh mendatangkan ancaman kepada keselamatan, persatuan itu boleh disenarai hitamkan.
“Di bawah kuasa menteri diharamkan dan tidak boleh didaftarkan ia bergerak,” katanya. -Edisi 9

