27.9 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Surat ROS: Pihak tidak puas hati boleh cabar keputusan

Keputusan pengecualian kepada UMNO untuk tidak mempertandingkan kedua-dua jawatan tertinggi parti itu juga adalah terpakai.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PIHAK yang tidak berpuas hati dengan keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO boleh mencabar perkara itu di mahkamah.

Itu kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut berkata, keputusan pengecualian kepada UMNO untuk tidak mempertandingkan kedua-dua jawatan tertinggi parti itu juga adalah terpakai.

“Ia telah diambil kira pandangan daripada pelbagai pihak termasuk penasihat undang-undang di kementerian,” katanya seperti dilapor BH Online.

Mengulas lanjut, katanya, pihak yang mempunyai pandangan sebaliknya boleh membuat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Semakan semula itu di atas pengadu. Pengadu (boleh) bawa ke mahkamah sama ada selepas ROS atau menteri membuat keputusan. Kalau dia beranggapan ada asas untuk bawa perkara berkenaan ke mahkamah, boleh buat.

Saifuddin bagaimanapun, enggan memperincikan asas pengecualian, seperti yang diminta oleh Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Advertisements

Katanya, dalam Seksyen 70 Akta (Pertubuhan 1966) ini juga memberi secara khusus kuasa kepada menteri untuk buat pengecualian.

“Sudah tentu YB pernah menjadi menteri di kementerian, kita ada penasihat undang-undang dan ianya bukan soal menteri secara peribadi membuat keputusan.

“Bila kita invoke perkara itu, pengecualian adalah terarah kepada pengecualian kepada pematuhan Seksyen 13 dalam Akta Pertubuhan,” katanya

Saifuddin berkata, sekiranya pengadu tidak berpuas hati dan mengatakan menteri melampaui batas kuasa, pihak tersebut mesti mengemukakan asas pernyataan dan afidavit mengikut saluran undang-undang.

Semalam, Saifuddin dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, KDN memberi pengecualian kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966, berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti tahun ini.

Keputusan itu diberi mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan menteri boleh menggunakan budi bicaranya untuk mengecualikan mana-mana pertubuhan berdaftar daripada semua atau mana-mana peruntukan dalam Akta Pertubuhan 1966.

Seksyen 13(1)(c)(iv) akta berkenaan pula memperuntukkan Pendaftar boleh membatalkan pendaftaran mana-mana pertubuhan berdaftar yang didapati melanggar secara sengaja mana-mana peruntukan atau peraturan dalam akta itu.

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan