28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Denda, penjara jika ceramah tanpa tauliah di Johor

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MAJLIS Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang didapati mengajar atau memberi syarahan agama Islam tanpa tauliah di negeri itu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, tindakan juga akan diambil terhadap penganjur acara atau program berkenaan yang dianggap sebagai bersubahat.

“Mana-mana penganjur kepada acara mengajar dan memberi syarahan agama Islam menggunakan penceramah yang tidak bertauliah dari MAINJ adalah melakukan satu kesalahan penyubahatan di bawah Seksyen 43 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau sedua-duanya sekali,” katanya kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mereka yang didapati mengajar dan memberi syarahan agama Islam tanpa tauliah adalah melakukan kesalahan yang boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 dan Seksyen 11 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

Jelasnya, mereka yang diambil tindakan atas kesalahan itu boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mohd Fared berkata, tauliah yang diperlukan daripada MAINJ itu adalah meliputi kawasan masjid dan surau serta mana-mana tempat dalam negeri ini.

Langkah itu katanya, selaras dengan Seksyen 118(3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003, antara kaedah mengawal doktrin dan fahaman yang menyeleweng dari hukum syarak di negeri ini adalah dengan memastikan mereka yang mengajar dan memberi syarahan agama Islam atau apa-apa perkara tentang agama Islam perlu memiliki tauliah daripada MAINJ.

MAINJ adalah pihak berkuasa agama Islam yang menjaga urusan hal ehwal masyarakat Islam di negeri ini supaya mematuhi hukum syarak berlandaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran al-Asya’irah dan al-Maturidiyyah yang syariatnya berlandaskan mazhab Shafie tanpa menolak mazhab muktabar lain serta bertasawuf berlandaskan Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali,” ujar beliau.

Tambahnya, masyarakat Islam perlu mematuhi undang-undang yang telah dikanunkan demi memastikan syiar Islam yang benar dan betul ditegakkan dan dilaksanakan di negeri ini. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan