28.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 4, 2024

Permudah syarat OKU sertai TVET bantu mereka ubah kehidupan

Mesti Baca

PENYEDIA program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu memberi perhatian serius terhadap cadangan kerajaan untuk menimbang semula syarat kelayakan bagi memudahkan golongan orang kurang upaya (OKU) menyertai program itu pada masa hadapan.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, usaha itu akan membuka ruang seluasnya kepada golongan OKU untuk mengubah kehidupan mereka dan sama-sama terbabit dalam proses pembangunan negara atas kapasiti masing-masing.

“Kadang-kadang terdapat penyedia latihan yang gemar meletakkan syarat begitu ketat sehingga menyukarkan atau mematahkan semangat golongan OKU untuk mengikuti latihan TVET.

“Kenyataan perdana menteri untuk membawa isu syarat kemasukan OKU dalam sistem pendidikan TVET ke mesyuarat Jemaah Menteri menunjukkan terdapat perkara tertentu yang perlu diberi perhatian segera dan ditambah baik oleh semua penyedia latihan TVET sama ada kerajaan atau swasta,” katanya.

Ahad lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan dalam Program ‘Temu Anwar’ di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, Johor berkata, kerajaan akan menimbang semula syarat kelayakan bagi golongan OKU mengikuti program TVET untuk memudahkan mereka menyertai bidang itu.

Advertisements

Anuar berharap, kerajaan turut mengambil langkah menyediakan kemudahan atau prasarana pendidikan yang bersesuaian bagi membolehkan golongan OKU mengikuti program TVET dengan lebih sempurna sekali gus mengelak pelajar atau institusi menolak kemasukan kerana tidak mempunyai prasarana ‘mesra’ OKU.

Sementara itu, Ahli Dewan Negara Isaiah Jacob berkata, langkah kerajaan untuk mengkaji syarat kemasukan ke program TVET memberi sinar buat golongan itu dalam aspek peluang menggilap potensi golongan OKU.

Isaiah yang kudung sebelah kaki berkata, langkah itu juga akan memberi lebih ruang dan peluang kepada golongan istimewa menceburi bidang kemahiran diminati mereka berbanding sebelum ini yang tawaran mengikuti TVET lebih tertumpu kepada individu sempurna bentuk fizikal.

“Sebelum ini, memang ada peluang untuk OKU tetapi agak terbatas atas sebab syarat-syarat tidak mesra OKU yang ditetapkan selain jurusan ditawarkan juga terhad,” katanya dan yakin janji yang dibuat perdana menteri akan mengubah nasib golongan OKU dalam mengikuti pendidikan TVET selepas ini.

Presiden Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), Mohamad Sazali Shaari pula berkata, langkah mengkaji syarat kemasukan ke program TVET pastinya membawa banyak manfaat kepada orang pekak mengikuti bidang kemahiran kerana secara asasnya pelajar OKU boleh mengikuti semua program sekiranya tiada batasan komunikasi dan aksesibiliti kepada informasi. -Bernama

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan