28 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 16, 2024

Pengarah syarikat rugi RM348,673 ditipu pelaburan tidak wujud

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEORANG pengarah syarikat berputih mata apabila mengalami kerugian RM348,673 selepas terpedaya dengan penipuan pelaburan tidak wujud menggunakan aplikasi ‘OSL’ yang ditawarkan kenalan laman media sosialnya.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata lelaki berusia 58 tahun itu membuat laporan polis sebaik menyedari wang dilaburkan tidak mendapat pulangan.

Beliau berkata, kejadian bermula apabila pengadu berkenalan dengan seorang wanita secara maya menerusi Facebook pada 27 Julai lepas.

“Suspek kemudiannya telah memperdayakan pengadu untuk membuat pelaburan menerusi satu aplikasi dikenali sebagai OSL.

“Bagi tempoh 12 Ogos hingga 26 Ogos 2023, pengadu telah memasukkan dana sebanyak lapan kali ke dalam tujuh akaun bank yang berlainan berjumlah RM348,673.

“Setelah beberapa hari, pengadu mendapati akaun pelaburan OSL miliknya telah memperolehi keuntungan sebanyak RM1.06 juta (RM1,060,085.41),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Advertisements

Bagaimanapun, katanya, apabila pengadu ingin mengeluarkan wang keuntungan tersebut, suspek telah meminta bayaran 30 peratus daripada jumlah keuntungan itu.

“Kemudian, barulah pengadu menyedari bahawa dia telah ditipu oleh suspek. Berikutan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,”katanya.

Dalam pada itu, Mohd Yusri mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan dalam platform media sosial yang menjanjikan pulangan tidak munasabah, khususnya melalui aplikasi kewangan atau pelaburan yang tidak diluluskan Bank Negara atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

“Dalam perkara ini, orang awam boleh menghubungi talian Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) 997 jika anda merupakan mangsa penipuan pelaburan tidak wujud dan anda baru sahaja membuat transaksi ke akaun keldai,” katanya.

Selain itu, katanya, sebarang pertanyaan mengenai jenayah penipuan boleh disalurkan kepada CCID Infoline menerusi aplikasi WhatsApp di talian 013-2111222 (waktu operasi 8 pagi hingga 8 malam) selain melayari laman sosial pihak polis. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

KPM umum beberapa inisiatif termasuk lonjak kapasiti guru digital

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) hari ini mengumumkan beberapa inisiatif antaranya bagi melonjakkan kapasiti guru dalam bidang digital, kata Menteri Pendidikan,...

Lagi Artikel Berkaitan