26.6 C
Kuala Lumpur
Monday, December 2, 2024

Kerajaan lulus pelan induk bersepadu guna tanah ECRL

Mesti Baca

KERAJAAN hari ini meluluskan Pelan Induk Bersepadu Guna Tanah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi pembangunan di sekitar 20 stesen dan di sepanjang laluan rel tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) yang dipengerusikan beliau di Putrajaya hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, mesyuarat kali ke-42 itu juga bersetuju menambah baik proses kelulusan dalam pembinaan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV).

Katanya hal itu akan dilaksanakan dengan mewujudkan Garis Panduan Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik dan Prosedur Pemajuan (GPP EVCB).

“Ini selari dengan transformasi industri automatif negara ke arah peralihan masa hadapan yang lebih mesra alam dan mampan.

“Ketersediaan infastruktur pengecasan amat penting dalam transformasi sektor automotif ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara di Putrajaya.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

MPFN merupakan menjadi platform bagi Kerajaan Persekutuan berbincang dengan Kerajaan Negeri berkaitan hal ehwal perancangan bandar dan desa serta pembangunan fizikal negara, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Advertisements

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, mesyuarat juga bersetuju tentang keperluan pemakaian Pelan Pembangunan Geopark Negara 2021-2030 dan Pelan Pelaksanaan Geopark Negara oleh agensi Persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri.

Katanya, cadangan ini akan diterjemahkan dalam dokumen rancangan tempatan untuk kawalan perancangan dan guna tanah peringkat tempatan.

Untuk rekod, ECRL bakal mengubah landskap dan merangsang pertumbuhan ekonomi dengan membawa pelbagai limpahan manfaat kepada negara.

Inisiatif pengangkutan awam itu, yang meliputi jarak sepanjang 640 kilometer juga bakal memberi impak besar kepada negeri terlibat iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Jajaran itu, yang dijangka siap pada Disember 2026, melalui 20 stesen dari Kota Bahru ke Kuala Terengganu, Kuantan, Mentakab dan melalui Gombak, Serendah, Puncak Alam dan ke Pelabuhan Klang.

Daripada 20 stesen tersebut, dua buah stesen akan dibina di Kelantan iaitu stesen Kota Bharu dan Pasir Putih, enam di Terengganu (Jerteh, Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu, Dungun, Kemasik dan Chukai).

Pahang pula akan memiliki tujuh stesen iaitu di Cherating, Pelabuhan Kuantan, Kota SAS, Pasar Besar, Maran, Temerloh dan Bentong manakala di Selangor pula ialah Gombak, Bandar Serendah, Puncak Alam, Kapar serta Pelabuhan Klang. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

PAPTI rangka pelbagai program sambut jubli emas tahun depan

PERSATUAN Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) merangka pelbagai program  bagi menyambut Ulang Tahun Jubli Emas Ke-50 penubuhannya tahun depan. Presiden...

Lagi Artikel Berkaitan