SEBANYAK 6,510 saman kepada pesalah lalu lintas telah dikeluarkan menerusi Operasi Hormat Undang-Undang (Op HUU) Jalan Raya Polis Kuala Lumpur yang dilaksanakan, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kesalahan melakukan halangan lalu lintas masih mencatat jumlah kesalahan paling banyak iaitu 5,190 saman dan diikuti dengan lain-lain kesalahan (1,005 saman).
“Dalam operasi semalam sahaja, sebanyak 157 saman telah dikeluarkan kepada warga tempatan yang tidak mempunyai lesen memandu, sementara lapan saman ke atas warga asing bagi kesalahan sama.
“Sebanyak 35 saman dikenakan ke atas kenderaan yang diletakkan di laluan pejalan kaki atau garisan putih,”katanya menerusi kenyataan hari ini.
Selain itu, beliau berkata, sebanyak 38 saman dikeluarkan pihak polis melibatkan kegagalan pemandu mematuhi lampu isyarat merah.
“Saman juga dikenakan ke atas kenderaan yang mempunyai nombor pendaftaran kabur atau fancy sebanyak 77 saman dan berhenti di petak kuning.
“Bagaimanapun, tiada saman dikeluarkan melibatkan kesalahan berhenti di petak kuning.
“Bagi tindakan sitaan, sebanyak 16 buah motosikal dikenakan tindakan tegas tersebut selain polis turut menahan 11 individu dalam operasi semalam,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 22 operasi dilaksanakan semalam, termasuk tumpuan kepada kesalahan parkir haram dan Op Perdagangan. – Edisi 9