LAPORAN awal Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) mendapati tiada bukti menunjukkan ketidakupayaan atau faktor fisiologi yang mempengaruhi prestasi kru penerbangan dalam nahas pesawat di Elmina, 17 Ogos lalu.
Menurut laporan yang dikeluarkan hari ini, tiada mangsa yang terselamat dalam kejadian yang meragut 10 nyawa itu disebabkan magnitud kuasa pecutan pesawat semasa insiden dan kebakaran susulan nahas.
Laporan tersebut antaran lain menyatakan pesawat mempunyai sijil kelayakan udara sah dan diselenggara mengikut peraturan sementara juruterbang juga mempunyai kelayakan menerbangkan pesawat.
“Insiden berlaku pada waktu siang dengan penglihatan yang jelas dan sesuai seperti yang dilaporkan dalam keadaan meteorologi atau kaji cuaca.
“Tiada bukti ketidaupayaan atau faktor fisiologi yang menjejaskan prestasi kru penerbangan. Person in charge (juruterbang) dilesenkan dan layak untuk penerbangan mengikut peraturan sedia ada,” katanya.
Pesawat N28JV dilaporkan terhempas pada pukul 2.40 petang 17 Ogos lalu berhampiran Elmina, Shah Alam ketika dalam penerbangan dari Langkawi ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang.
Nahas tersebut mengorbankan 10 individu termasuk seorang pemandu kereta dan motosikal yang melalui kawasan kejadian.
Turut terkoban, Exco Pahang, Datuk Seri Johari Harun yang merupakan antara lapan individu yang berada dalam pesawat berkenaan.
Susulan nahas, rakaman suara 30 minit terakhir nahas di dalam kotak perakam suara kokpit (CVR) berjaya ditemui dan kemudiannya diekstrak di makmal pengilang pesawat di Florida, Amerika Syarikat. – Edisi 9