GARA-gara berkongsi lagu berjudul Bad Religion di Insta Story miliknya, ahli kumpulan BTS, RM teruk dikecam disebabkan lagu berkenaan dikatakan menghina agama Islam.
Namun begitu, RM atau nama sebenarnya Kim Namjoon enggan memohon maaf.
Menerusi siaran langsung di aplikasi Weverse Rabu lalu, RM berkata, dia sama sekali tidak berniat mahu menghina mana-mana agama.
“Saya tahu apa yang anda katakan dan anda memberitahu saya bahawa saya menghina agama. Tidak, saya tidak ada niat atau tujuan untuk menghina agama.
Saya menghormati setiap kepercayaan dan agama. Itu sahaja yang boleh saya katakan. Saya tahu apa yang berlaku di Instagram (IG) saya, saya boleh lihat,” katanya.
Penyanyi berusia 28 tahun itu juga enggan memohon maaf dan menyatakan ia hanya sekadar sebuah lagu.
“Saya tidak pernah atau tidak ada tujuan seperti itu. Saya tidak mempunyai walau 1 peratus niat di dalam hati untuk menghina mana-mana agama. Itu hanya lagu. Saya tidak akan memohon maaf.
“Tolong percaya kata-kata saya dari diri saya sendiri. Bukan hanya sekadar meneka, berpura-pura dan membuat andaian, okay?,” katanya.
Terdahulu, menerusi hantaran di IG story miliknya, RM berkongsi sebuah lagu berjudul Bad Religion yang dinyanyikan oleh Frank Ocean.
Lirik lagu berkenaan dikatakan menghina agama Islam walaupun ianya menceritakan tentang hubungan cinta yang tidak berbalas.
Berikutan itu, RM menerima pelbagai kritikan dan kecaman daripada warganet yang menyifatkannya sebagai seorang yang tidak sensitif terhadap agama.
Secara tidak langsung ia memberikan imej yang buruk buat RM. -Edisi 9