KELAB bola sepak Kuala Lumpur City (KL City) mengambil inisiatif menjalinkan kerjasama strategik dengan kelab bola sepak Persija Jakarta dalam usaha memajukan lagi pembangunan bola sepaknya.
Pengarah Rinani Group, Azri Azerai selaku pemilik KL City berkata, kerjasama yang dijalinkan itu juga bagi mengeratkan hubungan budaya antara bandar raya Kuala Lumpur dan Jakarta.
Beliau berkata, melalui kerjasama tersebut, kedua-dua pasukan tersebut akan memupuk dan mempamerkan bakat-bakat baharu.
“Kami percaya bahawa sukan adalah bahasa universal dan cara yang lebih baik untuk menghubungkan komuniti kami melalui semangat bersama untuk bola sepak,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Sebelum itu, Rinani Group dan PT Persija itu menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di Jakarta. Hadir sama, Pengarah PT Persija, Ambono Janurianto.
Azri berkata, melalui MoU itu KL City dan Persija akan meneroka inisiatif bersama merangkumi program latihan yang berterusan di Indonesia dan Malaysia.
Selain itu, kedua-dua pihak juga akan menganjurkan kem bola sepak sama ada di bawah jenama Persija atau bersama KL City serta berkongsi kemudahan latihan untuk perlawanan persahabatan dan pra-persiapan musim.
“Di luar padang, kerjasama itu bertujuan untuk mengukuhkan hubungan budaya dan sukan antara Kuala Lumpur dan Jakarta.
“Kedua-dua kelab komited untuk meningkatkan hubungan ini melalui acara dan aktiviti berkaitan bola sepak, mempromosikan muhibah dan persefahaman antara bandar masing-masing dan memupuk persahabatan di kalangan peminat, pemain dan pegawai,” katanya.
Ekoran kerjasama itu, KL City dan Persija akan mengadakan perlawanan persahabatan pada tarikh yang akan diputuskan kemudian.
Bagi memastikan kemampanan dan pertumbuhan pakatan ini, Azri berkata, wakil KL City dan Persija akan bertemu sekurang-kurangnya sekali setahun untuk meninjau kemajuan usaha kerjasama dan meneroka bidang untuk pengembangan masa depan. – Edisi 9