HUBUNGAN antara Malaysia dan Indonesia melangkaui bidang diplomatik dan ekonomi apabila ia turut mencakupi seni budaya seiring dengan konsep Kerajaan MADANI, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, hatta pemerkasaan seni budaya perlu diberi perhatian sementelahan usaha memperjuang nasib golongan artis, kerjasama artis di kedua-dua negara, peranan artis dan pempengaruh.
“Saya mendapatkan juga pengalaman mereka dan cadangan untuk tingkatkan hubungan dua hala, juga memperkasa seni budaya,” katanya kepada media selepas menghadiri program bersama pempengaruh dan selebriti malam tadi.

Program ‘Santai Bersama Anwar’ dihadiri seniman, seniwati dan pempengaruh terkemuka Indonesia termasuk Mulan Jameela, Maruli dan Bara Tampubolon, Kartika Putri, Habib Usman, Selvi Kitty serta Melly Goeslow selain artis Malaysia, Nur Fazura Sharifuddin.
Antara perkara yang dibincang pada pertemuan itu ialah usaha memperjuang nasib golongan artis, menjadikan seni budaya sebagai medium dakwah, kerjasama artis kedua-dua negara dan peranan mereka dalam menjaga hubungan harmonis dua negara.
Anwar berkata, ayuh manfaatkan seni budaya sebagai medium dakwah dalam menjaga hubungan harmonis dua negara berjiran.
Beliau kini dalam rangka lawatan bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 yang bermula esok hingga 7 September. – Edisi 9