25.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

KKM tingkat kesiapsiagaan penyakit Nipah

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) meningkatkan kesiapsiagaan terhadap penyakit Nipah dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan susulan penularan virus tersebut di India.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, kementeriannya akan sentiasa memantau kejadian penyakit Nipah yang berlaku di luar negara.

Berikutan itu, beliau menasihati masyarakat terutama pengembara yang baru mengunjungi kawasan berisiko tinggi untuk mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelak diri daripada dijangkiti penyakit Nipah.

“Amalkan mencuci tangan dengan kerap menggunakan sabun dan air, elakkan sentuhan dengan keluang atau khinzir terutamanya yang sakit. Elakkan berada dalam kawasan di mana keluang diketahui berkumpul.

“Elakkan pengambilan buah-buahan dan nira (tree sap) contohnya pokok kurma, pokok kelapa, pokok nipah yang disyaki tercemar dengan air liur atau cecair badan keluang.

“Elakkan sentuhan langsung (direct contact) dengan rembesan iaitu darah, cecair badan dan rembesan pernafasan orang yang dijangkiti penyakit Nipah,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Dr. Zaliha berkata, bagi pengembara yang pulang ke Malaysia daripada negara berisiko tinggi jangkitan penyakit nipah, mereka dinasihat melakukan pemantauan kendiri tanda dan gejala virus tersebut selama 14 hari.

Advertisements

“Sekiranya bergejala, elakkan kontak dengan orang lain dan segera dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran,” katanya.

Untuk rekod,  Nipah adalah suatu penyakit zoonotik yang disebabkan oleh virus Nipah, iaitu penyakit yang disebarkan dari haiwan kepada manusia.

Penyakit tersebut mampu mengakibatkan komplikasi keradangan pada otak dan  penyakit saluran pernafasan dengan kadar kematian 40 peratus ke 70 peratus dalam manusia yang dijangkiti.

Tempoh inkubasi bagi penyakit Nipah adalah antara lima ke 14 hari, antara gejalanya adalah demam, sakit kepala, muntah, batuk, susah bernafas, sawan, kekeliruan dan kebingungan.

Selain daripada menyebabkan komplikasi keradangan pada otak, penyakit Nipah juga boleh menyebabkan individu yang dijangkiti mengalami penyakit saluran pernafasan dan kematian.

Di Malaysia, penyakit Nipah merupakan penyakit yang wajib dinotifikasi di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan ia kali pertama terjadi pada September 1998 hingga Mei 1999.

Namun, pada tahun 2001, Malaysia diisytiharkan bebas penyakit Nipah oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH), ini merupakan hasil usaha KKM dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung (Perhilitan). – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Wanita perlu jaga darjat, jangan bergaduh kerana ‘buaya’

USAHAWAN selebriti, Datin Thalia Baiduri menitip pesan kepada semua wanita agar sentiasa menjaga darjat serta nilai diri masing-masing. Baginya tidak perlu...

Lagi Artikel Berkaitan