27.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 16, 2024

Filem Rain Town wakili Malaysia untuk Tayangan Perdana di 10th SRIFF

Mesti Baca

FIELM berbahasa Kantonis Rain Town terbitan kedua syarikat produksi Current Pictures Sdn Bhd melakar kejayaan tersendiri apabila terpilih mewakili Malaysia sebagai Tayangan Perdana Dunia (World Premiere) di Festival Filem Antarabangsa 10th Silk Road International Film Festival (SRIFF).

Acara itu akan berlangsung di Fuzhou, China pada 23 hingga 27 September ini.

Pengarahnya, Tunku Mona Riza berkata, ia adalah satu penghormatan apabila filem kedua arahannya itu mendapat perhatian pihak luar serta berpeluang untuk ditayangkan di sebuah festival berprestij di luar negara.

“Sudah tentu ini adalah peluang untuk masyarakat luar dapat lebih mengenali Malaysia yang terdiri daripada pelbagai budaya secara lebih dekat menerusi penayangan filem Rain Town di SRIFF.

“Apatah lagi, SRIFF antara salah sebuah festival filem yang agak besar di China dan saya harap Rain Town dapat memikat penonton di negara berkenaan,” katanya.

Tunku Mona berkata, sebagai sebahagian daripada inisiatif China’s Silk Road Film Bridge Project, penganjuran SRIFF ini bertujuan untuk menggalakkan pertukaran budaya dan kerjasama strategik antarabangsa melalui pembangunan industri audio-visual China.

Tayangan Perdana Dunia Rain Town akan menyaksikan garapan seni kreatif pengarah berkenaan yang sebelum ini telah banyak memenangi anugerah di festival antarabangsa dan tempatan melalui filem Redha.

Advertisements

Filem Rain Town mengisahkan tentang perjuangan dan konflik sebuah keluarga yang berhadapan dengan pelbagai konflik yang menimpa mereka serta turut menonjolkan pelbagai emosi dalam hubungan keluarga yang diterjemahkan di layar perak.

Sementara itu, sebagai karya kreatif sulung pengarah untuk filem berbahasa Kantonis, Tunku Mona berkata, dia mempunyai aspirasi menghasilkan filem yang bercitrakan keunikan dan keindahan pelbagai bangsa dan budaya di Malaysia yang majmuk dan harmoni sebagai nilai penting yang boleh ditonjolkan di dalam dan luar negara.

“Saya membuat filem ini kerana ingin rakyat Malaysia sedar bahawa sebagai sebuah negara berbilang kaum yang harmoni, perlu ada pelbagai cerita budaya yang terdapat di Malaysia.

“Sudah tentu saya berharap Rain Town dapat menarik minat semua kaum di Malaysia untuk menonton filem ini, sekali gus membuka dan memberi inspirasi kepada pengarah serta penerbit tempatan lain untuk mula mencipta filem silang budaya atau bahasa yang menggambarkan tentang masyarakat Malaysia,” katanya lagi.

Rain Town menampilkan barisan pelakon hebat yang terkenal serta pemenang anugerah seperti Chew Kin Wah, Susan Lankester, Fabian Loo, Wilson Lee dan Pauline Tan yang telah mencipta impak magis lakonan sebagai sebuah keluarga dengan pelbagai dimensi individu yang membawa kelainan serta kekuatan dalam cerita.

Penonton filem tempatan akan dapat menonton Rain Town bermula 8 Februari 2024 di pawagam di seluruh negara. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bukan bumiputera masuk UiTM: KPT masih pegang teguh Akta 173

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) masih berpegang teguh kepada Fasal 1A Akta 173 bahawa Universiti Teknologi Mara (UiTM) ditubuhkan menurut...

Lagi Artikel Berkaitan