33.6 C
Kuala Lumpur
Friday, May 17, 2024

Aisha Retno luah rasa melalui Ternoktah

Mesti Baca

PENYANYI dan pengubah lagu Aishah Retno kembali memukau peminat dengan karya terbaharunya yang sarat dengan emosi dan makna mendalam.

Selepas beberapa lagu yang menyentuh hati pendengar, kali ini Aisha meluahkan perasaannya melalui lagu yang bersandarkan situasi sekarang.

Menerusi single Ternoktah, penyanyi berusia 23 tahun itu  meluahkan perasaan simpati dengan pengakhiran sesebuah hubungan.

“Kebelakangan ini, ramai yang telah mengambil perhatian terhadap gelombang berita perpisahan yang membabitkan selebriti-selebriti terkemuka, seperti yang dipaparkan melalui media.

“Realiti ini telah membangkitkan simpati dalam diri Aisha dan saya luahkannya melalui lagu yang mengisahkan kisah perpisahan dengan seseorang yang amat disayangi,” katanya.

‘Ternoktah’ mengisahkan perasaan yang sudah berakhir akan sesuatu yang dicintai. Pepatah berkata ‘mencintai tidak bermakna memiliki’, meskipun cinta masih bersemadi di hati seseorang, tidak semestinya dapat memiliki.

“Tajuk ‘Ternoktah’ jelas menggambarkan terhenti atau habisnya sesebuah hubungan percintaan. Boleh dikatakan, perpisahan bukan perkara janggal, ia normal dan banyak berlaku dalam masyarakat, sudah nama pun manusia biasa,” katanya lagi.

‘Ternoktah’ tidak hanya menyentuh emosi pendengar, tetapi juga mengajak mereka untuk merenung tentang erti sebenar cinta dan kepahitan yang mengiringi kehidupan kita.

Dengan penuh keberanian, Aisha Retno sekali lagi membuktikan bakatnya sebagai penyanyi dan pengubah lagu mampu menyampaikan mesej mendalam melalui harmoni suara yang unik dengan sempurna.

Aisha juga turut berpesan, jika kita mengalami rasa kekecewaan, kita haruslah mengambil tindakan yang sewajarnya dan terus ke hadapan dan berusaha mencari kebahagian pada masa yang akan datang.

“Bagi saya, jika kita mengalami rasa kekecewaan daripada perpisahan, kita harus redha dan terima hakikat sambil berusaha mencari jalan penyelesaian bagi meneruskan kehidupan,” katanya.

Advertisements

Penyanyi yang pernah menerima pencapaian Anugerah Emas (SAMIs) dengan penjualan lagu ‘W.H.U.T’ (Wanna Hold U Tight) menerusi penjualan strim digital di Malaysia dan Indonesia ini berkata, interpretasi terhadap lagu terbaharunya itu tidak terikat kepada kisah percintaan semata-mata.

Sebaliknya, pendengar juga boleh mengaitkan dengan perkara disekeliling seperti perpisahan terhadap sesuatu hubungan.

“Skop lagu ini boleh dibuka lebih besar. Dalam kehidupan, kadang-kadang kita rasa tak mahu lagi lakukan sesuatu atau mungkin kita rasa mahu mulakan lembaran baru dengan orang yang kita percaya. Justeru, sudah tentu kita meletakkan noktah pada cerita lama yang terdahulu,” katanya.

Aisha Retno atau Melly, watak yang dipegang dalam drama Gadis Muzikal ini berkongsi tentang ‘Ternoktah’ yang mempunyai kaitan dengan hidupnya, pemilik nama lengkap Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam ini tidak menafikan perkara itu.

“Buat masa sekarang saya lebih memberi tumpuan kepada bidang kerjaya. Semestinya banyak perkara turun naik yang berlaku dalam kehidupan saya.

“Namun semua itu saya terima dengan hati yang terbuka dan akhirinya dengan damai serta mengambil ia sebagai pengajaran dalam kehidupan.

“Tidak lupa juga, Aisha mempunyai ibu dan ayah yang sentiasa menjadi tulang belakang yang memberi kata-kata semangat kepada saya,” katanya lagi.

Kebolehan Aisha dalam menghasilkan lagu-lagunya sangat menekankan kelainan dan keunikan seperti ‘Sutera’ yang mempunyai unsur Muzik Tarian Elekronik (EDM).

Dengan kemunculan lagu ini, ia membuatkan Aisha lebih teruja kerana dia sukakan cabaran bagi meningkatkan kebolehan pada dirinya.

Selain itu, ‘Ternoktah’ turut mendapat sentuhan istimewa daripada dua orang komposer dan penulis lirik berbakat iaitu Hanis Rafi dan Firdaus Rahmat.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Saya gembira bekerjasama dengan mereka bukan saja untuk single ini, malah untuk beberapa lagi lagu lain yang akan dilancarkan dalam masa terdekat,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Suspek serang balai polis Ulu Tiram buat persiapan rapi

POLIS mengesahkan suspek yang terlibat dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada awal pagi tadi telah...

Lagi Artikel Berkaitan