PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan para pengundi di Selangor agar tidak mensia-siakan undi mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, sebaliknya mereka perlu menggunakan pentas PRN sebagai medan unruk menyelamatkan negeri daripada dirosakkan oleh golongan yang tidak tahu mentadbir.
“Warga Selangor juga harus mengambil iktibar daripada setiap perkembangan pentadbiran pihak sana dan ternyata mereka gagal menyaingi rekod cemerlang negeri-negeri pimpinan Kerajaan Perpaduan.
“Kita juga masih ingat ada seorang mantan Perdana Menteri yang pernah membelanjakan sebanyak lebih RM30 juta hanya untuk mengubahsuai kediaman rasmi PM di saat rakyat bergelut dengan serangan serta ancaman COVID-19.
“Ini bukan prihatin, jauh sekali menyumbang kepada peningkatan darjat hidup rakyat,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada Jelajah Perpaduan MADANI di Bukit Antarabangsa bagi membantu kempen calon gabungan perpaduan PH-BN malam tadi.
Ujar beliau, gelombang Perpaduan mesti menang dan terus menyemarak.
Sementara itu, dalam pentas yang sama di Taman Medan, Perdana Menteri berkata, Kerajaan Selangor pimpinan saudara Amirudin Shari telah membuktikan mereka mampu laksana amanah rakyat dengan sempurna.
“Buktinya, pelbagai inisiatif baik dapat memanfaatkan rakyat Selangor secara keseluruhannya.
“Saya tegaskan kepada warga Selangor khususnya di Taman Medan ini untuk terus beri mandat kepada gabungan perpaduan PH-BN di negeri ini. Ayuh kekalkan Kerajaan Perpaduan di Selangor!,” katanya. – Edisi 9

