25.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 4, 2024

Tiada sebab AGC teliti semula kes yang telah didakwa

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

JABATAN Peguam Negara (AGC) menegaskan setiap keputusan untuk melakukan pendakwaan dibuat setelah meneliti dan menimbangkan sepenuhnya semua keterangan dan dibentangkan agensi penguatkuasa serta menurut undang-undang yang berkaitan.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, sehubungan itu, jabatan berkenaan tidak mempunyai sebab atau alasan yang munasabah untuk meneliti semula semua kes yang telah dipertuduhkan di mahkamah.

“Susulan daripada laporan media yang memetik kenyataan Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada 15 Ogos 2023 di laman Facebook beliau, AGC menegaskan bahawa jabatan ini tidak mempunyai sebab atau alasan yang munasabah untuk meneliti semula semua kes yang telah dipertuduhkan di mahkamah.

“Sebagaimana dinyatakan sebelum ini, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Tan Sri Muhyiddin Yasin pada 15 Ogos lalu hanya melibatkan empat pertuduhan predikat di bawah seksyen 23 Akta SPRM 2009,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hamzah menerusi kenyataan semalam mendesak Peguam Negara supaya menyemak dan mengkaji semula semua pendakwaan terpilih terhadap pimpinan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) untuk tujuan ditarik balik.

Beliau berkata, kezaliman itu perlu dihentikan dan juga telah memulakan tindakan undang-undang bagi menyaman kerajaan Malaysia serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Advertisements

Mengulas lanjut Idrus menafikan terdapat sebarang campur tangan politik atau tekanan untuk memulakan apa-apa pendakwaan.

Katanya, jabatan itu sentiasa bertindak secara bebas dan profesional, mengikut tatacara yang telah ditetapkan dalam memulakan pertuduhan terhadap mana-mana individu.

“AGC memandang serius kenyataan yang berkecenderungan menjejaskan kredibiliti jabatan ini.

“Kami menggesa semua pihak supaya berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan yang mencadangkan atau membayangkan bahawa integriti dan kebebasan jabatan ini telah dikompromi oleh campur tangan politik atau pengaruh yang tidak wajar,” katanya.

Beliau berkata, AGC bertindak secara bebas dan profesional pada setiap masa dalam menjalankan fungsinya untuk menegakkan keadilan selaras dengan bidang kuasa Peguam Negara yang diperuntukkan di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan