INSIDEN seorang lelaki didakwa dikasari beberapa anggota polis yang berlaku di sebuah balai di Kota Bharu, malam tadi, masih dalam siasatan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata kejadian itu dipercayai berpunca oleh provokasi yang dilakukan satu pergerakan konvoi secara bersendirian yang membawa bendera parti dan membuat bising.
“Kes malam tadi adalah satu pergerakan konvoi secara bersendirian, membawa bendera dengan bunyi bising, lalu di hadapan balai dan membuat bising.
“Perkara itu seolah-olah mencabar polis dan sebagai penguat kuasa, kita tidak menyahut cabaran itu tetapi insiden terbabit akan disiasat.
“Mungkin berlaku halangan terhadap polis dan anggota di balai itu juga akan dijalankan siasatan dalaman di bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).
“Jika berlaku ketidakwajaran dalam tindakan atau berlaku sesuatu yang menyalahi peraturan, kita akan ambil tindakan,” katanya kepada pemberita ketika meninjau proses pengundian di Sekolah Menengah Agama Falahiah, Tumpat, hari ini.
Terdahulu tular rakaman video berdurasi 15 saat memaparkan seorang lelaki yang menunggang motosikal dan memakai bendera sebuah parti dikasari beberapa individu dipercayai anggota polis.
Muhamad Zaki berkata, satu lagi kes diterima berkaitan ubah suai kenderaan menjadi kereta kebal dan digunakan di atas jalan raya yang disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987.
“Semalam kita sudah menahan satu kereta yang buat ubah suai dan tindakan akan diambil di bawah APJ 1987 dengan denda boleh sampai RM2,000 dan enam bulan penjara.
“Ini yang dikatakan kematangan berpolitik tapi ada lagi segelintir anak muda yang tidak begitu faham, terlalu teruja dan ghairah yang menyebabkan jadi macam ini,” katanya. – edisi 9