PENGALAMAN luas dimiliki Datuk Seri Mustapa Mohamed di peringkat Persekutuan ditagih bagi membantu empat negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) ketika ini.
Perkara itu dinyatakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menerusi hantaran di Facebook selepas mengadakan pertemuan dengan Tok Pa, semalam.
“Alhamdulillah, dapat mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Datuk Seri Mustapa Mohamed atau mesra dikenali sebagai Tok Pa mengenai isu-isu mikro di negeri.
“Antara perkara yang dibincangkan ialah kesenjangan pembangunan di negeri-negeri Malay Belt, pembangunan aset negeri untuk meningkatkan hasil, peningkatan tahap ekonomi negeri, peningkatan pelaburan.
“Selain itu, turut dibincangkan bagaimana empat negeri di bawah PAS dan PN dapat mengadakan kerjasama bagi menanganinya dalam kerangka kuasa Kerajaan Negeri di bawah Jadual Sembilan Perlembagaan Persekutuan.
“Pengalaman luas Tok Pa sejak sekian lama dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan pelbagai kementerian seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pembangunan Usahawan, Pengajian Tinggi dan sebagainya diharap dapat memberi membantu kami di empat negeri.
“Insya-Allah perbincangan lanjut akan diadakan sesama pimpinan negeri,”ujar beliau. – Edisi 9

