25.4 C
Kuala Lumpur
Monday, December 4, 2023

‘One Night Only’ bukti Aishahanim mampu jadi penghibur

Mesti Baca

TERUJA dan gembira. Itulah perasaan yang tergambar pada wajah penyanyi duo Aishahanim saat selesai menjayakan mini konsert mereka, One Night Only.

Aishahanim yang juga pasangan kembar itu, mengakui walaupun lebih 10 tahun berada dalam bidang seni perasaan untuk mengadakan konsert belum ada berikutan kurang yakin.

Apatah lagi, menyedari lagu mereka tidak banyak dan tidak semua mengenali siapakah mereka ini.

Namun, mini konsert itu berjaya membuktikan pasangan ini mampu menjadi penghibur kerana berjaya menghiburkan kira-kira 500 tetamu yang hadir pada malam konsert.

“Alhamdulillah rasa lega, kerana beberapa hari sebelum konsert kami memang tidak lena tidur kerana bimbang dengan persiapan untuk konsert ini.

“Bimbang jika ada yang tidak berminat menonton persembahan kami dan pulang awal. Tetapi melihat suasana ramai yang begitu sporting sehingga bangun menari kami sangat puas hati dan gembira kerana berjaya membuat semua terhibur.

“Bermacam perkara bermain difikiran sebenarnya tetapi melihat apa yang berlaku malam ini kami lega dan rasa syukur semuanya berjalan lancar malah luar biasa daripada apa yang kami jangkakan,” kata Aisha.

Berkongsi mengenai perbelanjaan konsert, duo kembar itu berkata, mereka sangat bersyukur mini konsert pertama mereka mendapat sokongan dan tajaan daripada ramai pihak.

“Kami memang tidak sangka ramai sahabat dan kenalan yang sudi menaja kami baik daripada segi pakaian, mekap dan tempat konsert.

“Pada awal risau juga maklumlah kami tidak popular seperti artis lain yang senang mendapat tajaan dan mampu mengadakan konsert besar.

“Namun begitu, apa yang kami dapat malam ini cukup membuat kami terharu dan membuat kami lebih semangat untuk terus menyanyi.

“Insya-Allah jika ada peluang mungkin kami akan tampil lagi dengan konsert dalam skala lebih besar,” kata Hanim pula.

Pada konsert yang mendapat tajaan daripada Roxro dan Wyn Wyn Event itu, Aishahanim mempersembahkan kira-kira 16 lagu antaranya Anggapanmu/ Robek Hatiku (Hanim), Akhirnya Kini Pasti/ Oh Teruna (Aisha) dan berduet lagu My Way.

Segmen pertama dibuka dengan penuh nostalgia kerana karya-karya yang dipilih adalah lagu yang pernah dibawakan kedua-dua penyanyi itu dalam pelbagai pertandingan nyanyian yang pernah mereka sertai sebelum ini.

Hanim sebelum ini pernah menyertai Bintang RTM 2001 dan Aisha pula pernah menjuarai pertandingan realiti, Girl Are Ready NTV7 (2001).

Segmen kedua pula menyaksikan duo kembar itu menyanyikan lagu-lagu mereka yang banyak dipilih menjadi runut bunyi bagi drama-drama popular antaranya Syurga Nur, Bukan Gadis Biasa, Nikah Cerai Rujuk, Tabir Zulaikha dan banyak lagi.

Antara lagu yang dinyanyikan mereka adalah Dua Muka, Angkara, Tinggalan Cinta, Benar Cinta dan Mata Kunci Cinta.

Bagi segmen ketiga, Aishahanim memilih menyanyikan lagu-lagu permintaan peminat antaranya I’m Alive, Pantun Janda, Kau Pergi Tanpa Pesan, Ini Rindu, I Will Survive dan I Hate Myself For Loving You.

Mereka juga turut menyanyikan lagu berbahasa Cina, Yue Liang Dai Biao Wo De Xin yang dipersembahkan sebagai kejutan kepada tetamu kaum Cina yang hadir.

Konsert itu turut dihadiri oleh tetamu terhormat, Yang Amat Mulia Tengku Laksamana Selangor, Yang Amat Mulia Tengku Sulaiman Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj dan juga yang berbahagia, Tan Sri Noh Omar.

One Night Only Aishahanim yang berlangsung selama dua jam itu juga menyaksikan kehadiran rakan-rakan artis, keluarga dan peminat yang selama ini memberi sokongan kepada duo kembar itu.

Aishahanim turut menyantuni mereka yang kurang bernasib baik apabila menjemput persatuan OKU untuk sama-sama berhibur dalam konsert mereka.-Edisi 9

Terkini

Lantik Raja Affandi sebagai Ahli Dewan Negara – Shabery

KERAJAAN diminta mempertimbangkan cadangan melantik calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, Jeneral (B) Tan Sri...

Lagi Artikel Berkaitan