26.1 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

Lawan Pas dalam pilihan raya bukan bererti lawan Islam

Mesti Baca

BERLAWAN dengan Pas dalam pilihan raya bukan bererti melawan Islam. Itu kata Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau membidas kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang mendakwa dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu sebagai ADUN yang melawan perjuangan Islam.

“Pas bukan satu-satunya kelompok yang mewakili Islam. Islam adalah milik pelbagai kelompok dan parti yang memperjuangkannya.

“Kita sama-sama membawa obor politik Islam dengan cara dan ijtihad yang berbeza.

“Kita sama-sama berhujah dengan dalil al-Quran dan al-Hadis apabila membawa agenda politik masing-masing,” katanya dalam hantaran yang di muat naik di Facebook, malam tadi.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan baru lalu, hanya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama dan Galas berjaya dimenangi oleh gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) manakala 42 kerusi disapu oleh Pas.

Advertisements

Bagi DUN Kota Lama, calon dari Amanah, Hafidzah Mustakim berjaya memenangi kerusi tersebut manakala Mohd Syahbuddin Hashim berjaya mempertahankan kerusi DUN Galas yang dimenangi beliau pada PRU-14 lalu.

Mohd Khairuddin berkata, apabila konotasi ‘lawan Islam’ dijadikan asas pertembungan maka pertembungan dalam pilihan raya tidak lagi menjadi saingan tetapi peperangan yang akhirnya membawa kepada perpecahan umat Islam.

Katanya, lebih dahsyat lagi ia boleh membawa kepada pertumpahan darah sesama Muslim.

Baru-baru ini tular hantaran video berdurasi 44 saat memaparkan Mohd Nassuruddin mendakwa dua ADUN pembangkang di Kelantan sebagai ADUN yang melawan perjuangan Islam ketika menyampaikan kuliah di Kota Bharu.

Sementara itu, Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Hasbie Muda dalam ciapan di akaun Twitternya mendakwa, kenyataan Mohd Nassuruddin itu bukti gejala takfiri tak pernah surut dari Pas.

“Itupun Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari masih nafikan. Saya sedia debat!” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Selepas kopi, Richiamo kembang sayap dalam bidang peruncitan

SELEPAS berjaya membina jenama dalam perniagaan kopi, Kumpulan Richiamo melebarkan sayap perniagaan dalam peruncitan dengan membuka rangkaian kedai runcit,...

Lagi Artikel Berkaitan