TUNKU Mahkota Johor, Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, buat julung kali memimpin Jelajah Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2023.
Menerusi Royal Press Office rasmi, Tunku Mahkota Johor bersama paduka adinda memulakan jelajah KMJ yang kali terakhir diadakan pada tahun 2019 sebelum pandemik Covid-19.
Berangkat bersama dalam konvoi Diraja, Che’ Puan Besar Khaleeda; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim; Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, dan Dato’ Dennis Muhammad Abdullah.

Turut berangkat menyaksikan majlis pelepasan KMJ 2023 di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru hari ini ialah Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim.
Jelajah KMJ Edisi Ke-23 itu, merentasi 10 daerah dengan perjalanan sejauh 879 kilometer selepas kali terakhir diadakan pada tahun 2019.
Acara pelepasan konvoi Diraja Johor berlangsung di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru dengan disempurnakan oleh Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Dato’ Dr Abdul Rahim Ramli.
KMJ merupakan ilham Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar pada tahun 2001 sewaktu itu Baginda ialah Tunku Mahkota Johor, bagi menyelami denyut nadi rakyat jelata.
Sejak itu, KMJ telah menjadi salah satu acara utama tahunan negeri Johor dan telah merapatkan perhubungan Istana Johor di hati rakyat. – Edisi 9

