33.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Rafizi gesa polis siasat akaun media sosial Pas Pusat

Mesti Baca

TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli menggesa polis menyiasat catatan media sosial yang dibuat Pas Pusat berhubung dakwaan 54,000 warga China dalam proses diberikan kerakyatan di negara ini.

Rafizi yang juga Menteri Ekonomi itu menyifatkan catatan Pas Pusat menerusi Facebook dan aplikasi X sebagai jenayah fitnah dan penipuan.

“Saya akan bercakap dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, supaya satu laporan polis dibuat mengenai posting ini yang jelas satu fitnah jenayah.

“Dakwaan dalam proses diberi kerakyatan adalah penipuan. PAS perlu bertanggungjawab bila berterusan berbohong begini,” katanya menerusi X sambil berkongsi tangkap layar perkongsian PAS Pusat itu.

Terdahulu, Pas Pusat berkongsi catatan yang dibuat oleh Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris, menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan 54,000 warga China dalam proses diberikan kerakyatan.

Razali berkata, walaupun Saifuddin Nasution dan Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil beria-ria menafikan perkara itu, namun ia perlu disiasat segera kerana rakyat berhak tahu.

Beliau berkata, ia bukan soal fitnah atau tohmahan, tetapi rakyat Malaysia berhak mengetahuinya.

Advertisements

“Kita tidak mahu kedaulatan negara kita dicerobohi sewenang-wenangnya, apatah lagi daripada pihak dalaman. Menteri KDN harus bertanggungjawab,” katanya.

Razali berkata, angka 54,000 itu terlalu besar dan rakyat mahu isu ini ditangani secara bijak dan tuntas.

“Kedaulatan negara perlu dipertahankan, keistimewaan rakyat Malaysia perlu dilindungi,” katanya.

Pada 18 Ogos lalu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan dakwaan itu, dengan berkata kenyataan Saifuddin Nasution pada Januari lalu, dimanipulasi kerana beliau sebenarnya berkata 54,000 permohonan kerakyatan dikemukakan pada 2017 hingga 2022.

Katanya, 54,000 permohonan meliputi pelbagai latar belakang keturunan dan negara asal diterima, tetapi hanya 45 warga China diberikan kerakyatan antara 2019 dan 31 Julai lalu.

Dalam penafian pada 26 Ogos lalu, Saifuddin Nasution berkata, ada lebih 140,000 permohonan kewarganegaraan yang diterima pihaknya dan daripada jumlah itu, sebanyak 9,000 diproses termasuk permohonan yang diluluskan.

Susulan itu, beliau menepis dakwaan bahawa kementeriannya dalam proses memberikan kerakyatan Malaysia secara besar-besar kepada warga asing terutama dari China. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

KPM laksana pebagai inisiatif untuk reformasikan pendidikan negara

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) sedang melaksanakan pelbagai inisiatif penting bagi mereformasikan pendidikan negara. Menurut KPM dalam kenyataannya, ini termasuk pengstrukturan...

Lagi Artikel Berkaitan