SEGALA spekulasi yang bertebaran berhubung Menteri Besar Negeri Sembilan terjawab apabila Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun kekal menjawat jawatan nombor satu kerajaan negeri itu.
Beliau selesai mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, bagi penggal kedua hari ini.
Aminuddin, 56, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti Kuala Pilah di sini kira-kira jam 4.15 petang.
Turut menyaksikan istiadat itu, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud bersama dua anakanda baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al’Abidin.
Hadir sama, Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammad Abdullah; Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman dan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.
Turut hadir, isteri Aminuddin, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, Aminuddin berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat.
Menerusi saingan empat penjuru, Ahli Parlimen Port Dickson itu menang dengan majoriti 2,662 undi.
Aminuddin memperoleh 12,730 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Ahmad Raihan Muhamad Hilal yang mendapat 10,068 undi serta dua calon Bebas iaitu Bujang Abu (83 undi) dan Mohammed Hafiz Baharudin (339 undi). – Edisi 9