TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan terhadap pempengaruh media sosial, Wan Muhammad Azli atau juga dikenali sebagai Papagomo.
Ini kerana menurut, Presiden UMNO itu, Papagomo atau Sir Azli itu jelas berbohong dan membuat penipuan fakta berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan sebelum ini.
Wan Azli menerusi akaun TikToknya mendakwa Zahid berbohong bahawa langkah BN bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan perpaduan adalah atas titah Yang di-Pertuan Agong.
“Dia kena tanya dirinya sendiri sebab dia tidak berada dalam MKT (Majlis Kerja Tertinggi UMNO) dan bukan lagi ahli UMNO.
“Laporan polis telah dibuat dan saya berharap pihak polis mengambil tindakan terhadap pembohongan dan penipuan fakta,” katanya yang mengaku telah membuat laporan polis semalam.
Zahid berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri majlis Korban Perdana dan Jamuan Rakyat anjuran UMNO Bahagian Kemaman di Pantai Penunjuk, Kijal hari ini.
Hadir sama Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu yang juga Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said dan juga Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Timbalan Perdana Menteri berkata, MKT telah membuat keputusan untuk memberi dukungan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berdasarkan dokumen amuan bersumpah yang dihantar ke Istana Negara sebelum tamat tempoh yang diberikan.
“Papagomo patut semak tentang perkara ini. Apa yang dilakukan mengikut titah Yang di-Pertuan Agong dan mengikut tatacara pembentukan kerajaan ketika itu yang mana PH mempunyai 82 kerusi dan BN ada 30 kerusi,” katanya. – Edisi 9