BINTANG sensasi Al-Nassr, Cristiano Ronaldo menegaskan kualiti Liga Arab Saudi (Roshn Saudi League) lebih tinggi berbanding Liga Bola Sepak Utama (MLS) di Amerika Syarikat (AS).
Ronaldo berkata, liga di negara Asia Barat itu berjaya menarik bukan sahaja pemain di penghujung karier namun beberapa pemain muda seperti Ruben Neves dan Joao Pedro Neves Filipe atau Jota.
Katanya, dalam tempoh setahun, kualiti Liga Arab Saudi akan mengatasi beberapa liga di Eropah seperti Liga Turki dan Eredivese di Belanda.
“Liga Arab Saudi lebih bagus berbanding MLS. Saya membuka jalan (pemain-pemain ternama) ke Liga Arab Saudi dan sekarang ramai pemain datang ke sini.
“Pemain yang tiba di sini bukan seperti yang diperkatakan Presiden UEFA, Alexander Ceferin (berhubung rekrut bintang kelab Arab Saudi). Jota dan Neves adalah pemain muda,” katanya kepada wartawan Portugal malam tadi.
Kelab-kelab di Arab Saudi giat memancing beberapa pemain ternama untuk beraksi di liga berkenaan terutama sejak pengambil-alihan empat kelab utama oleh Public Investment Fund (PIF) yang juga merupakan pemilik Newcastle United.
Selain Ronaldo, beberapa pemain bintang seperti N’Golo Kante, Karim Benzema, Roberto Firmino, Edouard Mendy, Kalidou Koulibaly, Marcelo Borozovic, Jota, Ruben Neves dan Sergej Milinkovic-Savic turut menyertai kelab negara itu.
Sementara itu, Ronaldo berkata, peluangnya untuk kembali beraksi di Eropah sudah tertutup rapat.
“Saya tidak akan kembali ke bola sepak Eropah, lupakan sahaja. Pintu sudah tertutup sepenuhnya.
“Pada usia 38 tahun, juga bola sepak Eropah kehilangan banyak pemain berkualiti, hanya Liga Perdana Inggeris sahaja yang kekal relevan dan berada di depan berbanding liga lain,” katanya. – Edisi 9