SEBANYAK 6,276 pemeriksaan telah dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sejak pelaksanaan OPS MANIS, OPS MANIS 2.0 3 Mei sehingga 30 Jun lalu di seluruh negara.
Ketua Pengarahnya, Datuk Azman Adam berkata, dalam pemeriksaan tersebut, sebanyak 109 aduan telah diterima dalam tempoh yang sama.
“Berdasarkan statistik penguatkuasa juga sebanyak 20 kes telah dihasilkan melibatkan kesalahan seperti mengenakan syarat penjualan yang tidak sah, menjual melebihi harga kawalan, membungkus gula tanpa kebenaran pengawal bekalan dan memberi gambaran mengelirukan mengenai harga jualan gula.
“Operasi ini dijalankan antara lain bertujuan untuk memastikan tidak berlaku aktiviti menyorok gula oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan mengelak pembelian panik oleh pengguna yang boleh menyebabkan gangguan ke atas bekalan bahan itu di pasaran,”katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu, kata beliau, pihaknya juga telah melaksanakan OPS TIRIS yang masih dalam tempoh pelaksanaannya selama enam bulan bermula dari 1 Mac 2023 sehingga 31 Ogos 2023.
Ini katanya, susulan pembentangan Belanjawan Malaysia Madani 2023 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada 24 Februari 2023 berhubung kewujudan ketirisan dalam pelaksanaan subsidi diesel yang dianggarkan berjumlah hampir RM10 bilion pada tahun 2022.
“Pelaksanaan OPS TIRIS antara lain bertujuan bagi memastikan pelaksanaan subsidi diesel tidak mengalami ketirisan dan sampai ke pihak yang layak menerimanya.
“Berdasarkan statistik penguatkuasaan OPS TIRIS bermula 1 Mac 2023 sehingga 5 Julai 2023, sebanyak 7,625 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 309 kes telah dihasilkan melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM27.03 juta.
“Jumlah rampasan minyak diesel sepanjang tempoh yang sama adalah sebanyak 3.36 juta liter,”katanya.
Ujar beliau, KPDN sentiasa komited dan akan meneruskan pemantauan rapi ke atas keberadaan bekalan barang-barang kawalan terutamanya gula meskipun OPS MANIS 2.0 telah tamat tempoh pelaksanaannya.
“Kita juga komited dalam memperkasakan penguatkuasaan bagi menjamin kestabilan kos sara hidup dan kestabilan ekonomi menerusi pelaksanaan OPS MANIS dan OPS TIRIS.
“Berdasarkan pemantauan yang telah dilakukan di seluruh negara setakat ini mendapati bekalan gula dalam negara telah kembali pulih dan stabil
Sehubungan dengan itu, kata beliau, pengguna disaran untuk terus berhemah di dalam menggunakan gula dalam kehidupan seharian mereka kerana penggunaan gula secara berlebihan boleh menjejaskan kesihatan pengguna itu sendiri.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga atau aktiviti penyelewengan barang kawalan terutamanya gula dan minyak diesel bersubsidi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab boleh
menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak kementerian melalui saluran WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000; Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my; ataupun Call Centre 1-800-886-800,”katanya.-Edisi 9