25.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

UMNO cadang kerajaan tubuh Suruhanjaya Ekonomi Gig

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

UMNO hari ini mencadangkan agar kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGIM) yang kini semakin pesat berkembang di negara ini.

Cadangan itu dikemukakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Menurut Zahir, suruhanjaya itu bertujuan mengawal selia ekosistem industri gig dan menjaga kebajikan seluruh rantaian ekonomi bermula daripada penyedia perkhidmatan, pembekal, pekerja dan pengguna.

“Sektor ini kian berkembang pesat di negara ini dengan lebih 1.12 juta pekerja gig telah berdaftar dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

“Tambahan pula lebih 80 peratus daripada pengguna ekonomi gig ini adalah terdiri daripada anak muda,” kata beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Perhimpunan Agung UMNO kali ini turut dihadiri oleh Anwar selaku Pengerusi Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib-naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Foto: Ihsan UMNO Online

Ahmad Zahid berharap kerajaan tidak kesampingkan arus evolusi digital yang menguasai pasaran ekonomi internet Malaysia yang telah mencapai transaksi multi billion, sehingga mencecah RM52.4 billion pada tahun 2020 sahaja.

Malah katanya, ia dijangka berkembang pada kadar 23 peratus setiap tahun.

“Saya percaya dengan penubuhan SEGIM ini, ia akan memberi sinar baharu buat pemain ekonomi gig serta adik-adik Grab, LalaMove, Food Panda di luar sana.

“Ia juga akan membolehkan kerajaan menstrukturkan sistem percukaian ekonomi Gig yang menyaksikan pengaliran besar aliran tunai melalui perkhidmatan ini ke luar negara,” katanya.

Selain itu, UMNO juga menggesa kerajaan memperkenalkan pelan Felda 5.0 bagi menyediakan perancangan untuk generasi kelima tanah rancangan itu.

Advertisements

Katanya, tumpuan pelan tersebut melibatkan penyediaan pendidikan berkualiti, peluang keusahawanan, akses kepada teknologi, kemahiran yang bersesuaian dan perancangan perumahan yang selesa buat mereka.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu memastikan pengagihan ekonomi dan kekayaan negara dapat dikongsi bersama khususnya buat masyarakat desa.

“Melalui proses urbanisasi, kerajaan mestilah merencana kemasukan industri-industri strategik bagi meransang pertumbuhan ekonomi kampung dan desa.

“Langkah ini juga merupakan ikhtiar kita untuk menoktahkan soal kemiskinan yang masih melingkari kehidupan rakyat di perdesaan,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Sementara itu, UMNO turut menuntut kerajaan agar dapat menyegerakan pelaksanaan semula pembangunan rel berkelajuan tinggi (HSR) yang dimulakan oleh Perdana Menteri Keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagaimanapun projek tersebut telah dikaji semula oleh Perdana Menteri Ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kemudian dibatalkan oleh Perdana Menteri Kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Insya-Allah kita yakin akan terlaksana di bawah PM (Perdana Menteri) Ke-10. Kita juga mahu agar pembinaan ECRL dan Pan Borneo, untuk manfaat rakyat Sabah dan Sarawak disiapkan mengikut jadual, supaya kemudahan ini menjadi pemangkin kawasan pertumbuhan baharu yang dapat menjana ekonomi, peluang pekerjaan dan membangunkan perusahaan-perusahaan kecil,” katanya.

Di samping itu, UMNO juga mahu kerajaan memastikan kebajikan penjawat awam dan pasukan keselamatan terus terbela khususnya dalam aspek perumahan, bebanan tugas guru, pelindungan hak sebagai pekerja.

Pada masa yang sama partu itu turut mahukan kerajaan memastikan pasca-pendamik, perkhidmatan kesihatan dipertingkatkan termasuk menyelesaikan isu perkhidmatan doktor-doktor kontrak. Saya yakin falsafah ‘charity begins at home’ akan dihargai oleh semua.

Ahmad Zahid berkata, parti itu menanggani hasrat dan harapan besar rakyat kepada kerajaan Madani dan UMNO mempunyai tanggungjawab untuk memenuhi aspirasi mereka.

Katanya, keresahan rakyat sentiasa dekat di hati UMNO dan masa depan mereka akan terus dibela. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan