26.1 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024

UMNO akan anjur Kongres Ekonomi Melayu

Ahmad Zahid berharap akan wujud sebuah resolusi untuk penambaihbaikan pelan ekonomi yang menyeluruh

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

UMNO akan mengadakan Kongres Ekonomi Melayu bagi menghimpun isu-isu berkaitan ekonomi orang Melayu sekali gus menjadi manifestasi kepercayaan kepada pelapis kepimpinan muda sebagai bakal pemimpin negara pada masa akan datang.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, isu ini sangat dekat dengan orang Melayu yang memerlukan pendekatan, strategi, dasar, pelan, visi, tekad yang lebih segar bagi mendepani ekonomi Melayu dan negara secara keseluruhannya.

“Pentingnya ekonomi Melayu diberikan tumpuan kerana apa-apa jurang dan ketidaksamaan ekonomi akan turut menjejaskan negara.

“Hal ini adalah kerana Melayu atau Bumiputera adalah kelompok etnik majoriti negara.

“Sekiranya isu ketaksamaan ekonomi berterusan tidak ditangani secara menyeluruh ia akan menjejaskan kedudukan ekonomi negara keseluruhan kerana Melayu atau Bumiputera mewakili sekitar 69.7 peratus (2021) populasi negara.

“Sehubungan itu, daripada kongres ekonomi yang akan dianjurkan sayap Pemuda dan Puteri UMNO tersebut saya berharap akan wujud sebuah resolusi untuk penambaihbaikan pelan ekonomi yang menyeluruh.

“Kita mengharapkan pelbagai idea baharu dan di luar kotak bagi mempertingkatkan kekuatan ekonomi Melayu dan menangani ketaksamaan tersebut.

“Saya juga telah meminta Timbalan Presiden untuk memantau perkara ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Ahmad Zahid berkata, resolusi dan pelan ekonomi ini nanti kemudiannya akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan untuk dipertimbangkan dan dilaksanakan.

Kata beliau, dengan suasana ekonomi baharu dan tidak menentu akibat perubahan iklim dan geo-politik dunia suatu persediaan lebih rapi yang bakal menjadi game-changer kepada peningkatan ekonomi Melayu dan negara.

Advertisements

“Pada masa yang sama quick-wins untuk menangani ekonomi semasa juga perlu diambil kira agar pelan jangka pendek, sederhana dan panjang dapat direkayasakan untuk rakyat.

“Kita perlu sedar meskipun negara berjaya mengurangkan kemiskinan dan jurang ekonomi selepas pelaksanaan DEB (Dasar Ekonomi Baru), namun jurang kekayaan masih tinggi.

“Kadar kemiskinan negara ialah 5.6 peratus manakala bandar ialah 3.8 peratus manakala di luar bandar ialah 12.4 peratus (2019).

“Begitu juga jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar. Purata pendapatan negara ialah RM 7,901 manakala bandar ialah RM 8,635, di luar bandar pula ialah sebanyak RM5,004 (2019),”katanya.

Ujar beliau, jurang kemiskinan perlu ditangani bagi mengelak ketidakstabilan ekonomi, politik dan sosial.

“Jurang ekonomi yang tinggi diikuti literasi politik yang rendah akan mewujudkan kelompok Trumpism di Amerika Syarikat atau munculnya golongan politik memperalatkan golongan mangsa jurang ketaksamaan dengan retorik agama dan etnik.

“Sedangkan ia perlu ditangani dengan dasar ekonomi yang lebih efisien,”katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut berasa teruja apabila Perhimpunan Agung UMNO 2023 yang berlangsung baru-baru ini membawa momentum yang lebih segar.

“Rata-rata perwakilan yang hadir bertekad mahu bergerak ke hadapan dan membina kekuatan parti yang lebih baik,”katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan