KENYATAAN Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mempelawa bekas ahli-ahli parti untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) minggu ini tetapi duduk di luar dewan membuatkan beberapa bekas pemimpin parti itu ‘koyak’.
Antara yang tidak senang dengan kenyataan tersebut ialah bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Bekas Ketua UMNO Bahagian Sembrong yang kini digantung keahlian UMNO selama enam tahun sejak Januari lalu berkata, beliau pasti orang ramai lebih merindui UMNO yang asal.
“Tidak perlu pelawa ahli yang dibuang ke Perhimpunan Agung UMNO secara menyindir dan sengaja berseloroh.
“Ini hanya menggambarkan mentaliti dan pemikiran semasa kepimpinan UMNO, tidak membantu langsung usaha memulihkan kedudukan parti dalam memenangi hati ahli-ahli di akar umbi,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau.
Malahan Ahli Parlimen Sembrong itu menganggap ahli parti yang dibuang tidak sedikit pun rugi sebaliknya yang mengalami kerugian adalah parti UMNO itu sendiri.
“Yang dibuang tidak rugi kerana parti telah pun menetapkan hukuman, tidak memerlukan khidmat kami lagi. Yang rugi ialah UMNO yang terkesan daripada pelawaan sinikal sedemikian,” katanya.
Semalam, Zahid dilaporkan berkata, UMNO sentiasa membuka pintu kepada bekas ahlinya untuk menghadiri PAU walaupun bukan sebagai perwakilan.
“Bekas ahli parti Melayu itu mungkin boleh menjadi pemerhati di luar dewan ketika perhimpunan tersebut berlangsung,” ujar beliau.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki juga secara berseloroh ‘mengajak’ mereka yang dipecat daripada parti itu untuk datang memperbaharui kain samping UMNO mereka pada PAU 2023, yang dijadual pada 7 Jun hingga 10 Jun ini.
UMNO sebelum ini memecat beberapa ahlinya termasuk bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar.
Selain Hishammuddin, UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain termasuk bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun. – Edisi 9