31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Suami isteri ditahan edar heroin, ganja

Dadah dirampas yang dipercayai untuk pasaran negeri ini dianggarkan boleh digunakan seramai 15,600 penagih dadah

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEPASANG suami isteri dipercayai pengedar dadah antara tiga individu ditahan bersama lebih 7 kilogram (kg) heroin dan lebih 3kg ganja dalam dua serbuan berasingan di daerah Manjung dan Kampar, semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, suami isteri berusia 28 dan 29 tahun itu ditahan pada 12.05 tengah malam di sebuah rumah di Sitiawan, Manjung.

“Hasil pemeriksaan di rumah tersebut, polis merampas dadah dipercayai heroin seberat 7.04kg dan ganja dianggar seberat 3.05kg bernilai RM64,570.

“Polis turut merampas peralatan yang disyaki digunakan untuk membungkus dadah selain menyita sebuah kenderaan, tujuh rantai, enam cincin, empat anting-anting serta satu subang hidung yang kesemuanya dianggar berjumlah RM72,332,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Yusri, kedua-duanya yang negatif terhadap dadah dan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Daripada siasatan mendapati pasangan suami isteri itu mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak awal tahun ini.

“Dadah dirampas yang dipercayai untuk pasaran negeri ini dianggarkan boleh digunakan seramai 15,600 penagih dadah,” ujar beliau.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan di Kampar, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 36 tahun di sebuah rumah di Desa Lawan Kuda, kira-kira 12.30 tengah malam.

“Hasil pemeriksaan polis merampas dadah dipercayai serbuk ekstasi sebanyak 2.7kg, kafein (1.67 kg), Methampetamine (22 gram), heroin (21 gram), pil erimin 5 (5 gram) serta pil ekstasi (6 gram) dengan nilai keseluruhan dadah dirampas berjumlah RM38,792,”katanya.

Menurut Mohd Yusri, polis turut merampas peralatan yang disyaki digunakan untuk membungkus dan menghisap dadah manakala lelaki itu didapati positif terhadap dadah jenis Methamphetamine serta memiliki 18 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Dadah dirampas dianggarkan boleh digunakan 6,700 penagih.

Katanya, lelaki yang aktif semula dalam aktiviti pengedaran dadah sejak sebulan lepas itu kini disiasat lanjut mengikut Seksyen 39B ADB 1952. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan