27.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Sultan Selangor perkenan isu kalimah Allah dibawa ke MKI 

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenan untuk membawa isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu mendapat perkenan baginda ketika beliau menghadap Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam hari ini.

Sehubungan itu, katanya, baginda selaku Pengerusi MKI memperkenan membawa perkara itu untuk dibincangkan dalam majlis berkenaan pada Ogos ini sebelum diangkat bagi pertimbangan dan penelitian Majlis Raja-Raja pada Oktober depan.

“Saya menegaskan pendirian Kerajaan Persekutuan memperaku dan menerima pakai dasar sedia ada yang menghadkan penggunaan kalimah Allah kepada orang Islam di semenanjung serta kelonggaran bersyarat oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan juga memberikan komitmen untuk memperkemas dasar sedia ada berdasarkan ketetapan Majlis Raja-Raja yang akan diangkat sebagai suatu dasar muktamad berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Advertisements

Perdana Menteri berkata, beliau menghadap Sultan Selangor bagi menyembah maklum berhubung keputusan kerajaan dalam kes Jill Ireland melawan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia di Mahkamah Rayuan.

Beliau turut menjelaskan pendirian kerajaan yang menghormati undang-undang di negeri-negeri dan kedudukan Raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai Ketua Agama Negeri dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam di peringkat negeri.

Katanya, selain itu beliau turut menghormati peranan Majlis Raja-Raja dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam di peringkat Persekutuan.

“Selepas berbincang, saya menghormati pandangan baginda yang selari dengan keputusan Jemaah Menteri Mei lalu bahawa isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak lebih sesuai diperkemas dan diperjelaskan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang berperanan menasihati Majlis Raja-Raja,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

UM mohon maaf berhubung kenyataan penceramah pro-Israel

UNIVERSITI Malaya (UM) memohon maaf berhubung kenyataan kontroversi seorang penceramah jemputan pro-Israel yang menuduh tindakan ahli politik Malaysia menyokong...

Lagi Artikel Berkaitan