MCA tidak perlu berkecil hati menerusi kerjasama yang dijalankan antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) yang membentuk Kerajaan Perpaduan pada hari ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua parti politik lain perlu menyantuni keberadaan parti lain serta menerima kerjasama antara BN dan PH adalah realiti politik baharu dalam kerajaan.
“Yang penting adalah kerjasama dengan semua parti di dalam ‘outfit’ BN, itu prinsip yang pertama. Namun realiti politik baru di dalam Kerajaan Perpaduan, kita harus menyantuni keberadaan parti-parti dari kolaborasi ini.
“Terdapat 19 parti yang berada di dalamnya. Saya tidak mahu mana-mana parti berkecil hati bila kita bekerjasama secara ‘smart partnership’ ini sebaliknya perkukuhkan parti masing-masing untuk memperoleh dokongan daripada ahli-ahli dan pengundi yang bukan ahli,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon yang mengingat BN supaya meletakkan kepentingan parti komponen dalam BN dan bukannya mengutamakan PH terutama DAP.
Dalam pada itu, Zahid turut mengingatkan parti komponen BN supaya memperkukuhkan parti masing-masing untuk memperoleh sokongan daripada ahli serta pengundi yang bukan ahli.
Tambahnya, BN dan semua parti komponen juga perlu terus memperkasakan parti masing-masing kerana ia merupakan prinsip utama.
“Kita mengingatkan diri kita sendiri di bawah BN agar terus diperkasakan, bukan sahaja MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) adalah teras kita malah kita juga mempunyai parti bersekutu di dalam BN,” jelasnya. – Edisi 9