SKUAD bawah 22 tahun kebangsaan (B-22) bangkit daripada kekalahan dalam dua perlawanan terdahulu apabila membenam Singapura B-22, 7-0 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Sukan SEA Kemboja 2023 di Stadium Prince, semalam.
Ibarat harimau yang sedang luka selepas tewas 2-0 kepada Thailand dan Vietnam 2-1, skuad bimbingan E. Elavarasan itu langsung tidak menunjukkan belas ehsan kepada Singapura.
Melakukan rombakan besar dalam kesebelasan utama, penyerang, T. Saravanan nyata paling mencuri tumpuan apabila meledak empat gol dalam perlawanan tersebut.
Harimau Muda mendahului 2-0 pada babak pertama, gol pertama dijaringkan Saravanan pada minit ke-14 menerusi sepakan lencong sementara Haqimi Azim menambah gol kedua Malaysia pada waktu kecederaan separuh masa.
Babak kedua menyaksikan Harimau Muda tambah garang apabila meledak lima lagi gol.
Saravanan menjaringkan gol peribadi keduanya pada minit ke-48 sebelum menambah dua lagi gol dalam tempoh 14 minit, pada minit ke-53 dan 52 untuk menjadikan kedudukan 5-0.
Pemain tengah Selangor FC, Mukhairi Ajmal menambah derita Singapura menerusi penyudah pada minit ke-87 sebelum Aiman Afif melengkapkan kemenangan bergaya Malaysia 7-0 pada waktu kecederaan.
Kemenangan ini mengesahkan Malaysia di tempat ketiga dalam kumpulan B di belakang Thailand dan Vietnam.
Sepanjang kempen Sukan SEA Kemboha 2023, Malaysia mencatat dua kemenangan dan dua kekalahan. – Edisi 9