28.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

RM51.8 juta hasil jualan inovasi menerusi NTIS

Kira-kira 50 peratus syarikat yang melalui program NTIS telah memajukan penyelesaian mereka dalam sektor agritech, medtech, biztech dan fintech

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEBANYAK RM51.8 juta hasil jualan inovasi tempatan dijana melalui Sandbox Teknologi & Inovasi Negara (NTIS), kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang.

Menurut beliau, ia dijana daripada 24 inovasi yang dihasilkan sepanjang dua tahun sejak NTIS ditubuhkan pada 2020 lalu.

“Di samping bantuan dana, program NTIS juga telah memudahkan kawal selia untuk 43 kes dengan 18 agensi kerajaan.

“Program NTIS turut disokong oleh 50 rakan kongsi dalam Rangkaian Pecutan Inovasi yang menawarkan teknologi, tapak ujian dan mekanisme pembiayaan,” katanya meraikan sambutan Ulang Tahun Kedua NTIS di Kuala Lumpur hari ini.

NTIS diterajui oleh MOSTI dengan Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI) sebagai sekretariat utama disokong oleh MIMOS Berhad, Malaysia Technology Development Corporation (MTDC) dan Futurise Sdn. Bhd.

Dilancarkan pada tahun 2020 dan telah berjaya menyokong para inovator tempatan untuk mengkomersialkan produk, teknologi dan inovasi
tempatan.

Lih Kang berkata, NTIS ditubuhkan selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Nasional (DSTIN) 2021-2030, seiring dengan usaha MOSTI untuk mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing.

“Di samping itu, meningkatkan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia, meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)/Pendapatan Negara
Kasar (PNK), meningkatkan penyertaan,pelaburan dan kerjasama dalam penyelidikan oleh sektor swasta serta meningkatkan kadar pengkomersilan negara,” katanya.

Beliau berkata, kira-kira 50 peratus syarikat yang melalui program NTIS telah memajukan penyelesaian mereka dalam sektor agritech, medtech, biztech dan fintech.

Katanya, sebanyak 10 tapak sandbox telah dimajukan setakat ini dengan peruntukan bagi penyelesaian perubatan dan penjagaan kesihatan, pertanian dan perhutanan, bandar pintar dan pengangkutan, pembuatan pintar, alam sekitar dan biodiversiti dan lain-lain.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mranti, Dzuleira Abu Bakar berkata, pihaknya bercadang untuk membangunkan dua lagi tapak Sandbox, menyelaras 70 syarikat permulaan dan membantu 20 produk atau penyelesaian untuk dikomersialkan tahun ini.

Katanya, ia sejajar dengan sasaran yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, di mana NTIS dijangka mengkomersialkan 100 produk menjelang 2025.

“Sebanyak 244 peluang pekerjaan kini telah pun dicipta di samping 24 penyelesaian telah dihasilkan untuk menangani cabaran masyarakat dan sektoral yang dihadapi negara,” katanya.

Beliau berkata, beberapa syarikat yang telah berjaya antaranya MSD Innovation Sdn. Bhd., sebuah syarikat teknologi pertanian yang menggunakan sistem Smart Urban Farming di enam lokasi telah membangunkan Manual Latihan Pertanian Bandar Pintar (SUF) yang mengandungi modul Teknikal dan Keusahawanan untuk melibatkan peserta B40 yang berusia antara 20 hingga 60 tahun sebagai petani pintar.

Selain itu, katanya, Poladrone (kini Aonic), sebuah syarikat pemaju teknologi dron, telah menerima bantuan dari segi pembangunan garis panduan Operasi Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) dan Operasi UAS Pertanian Arahan Penerbangan Awam (CAD) untuk menghasilkan Sijil Kerja Udara (AWC) yang kini telah mewujudkan 30 peluang pekerjaan dalam pengendalian dron untuk sektor pertanian.

“Manakala sebuah syarikat pembekal perkhidmatan dron, Meraque, berjaya membangunkan Teknologi Semburan Dron Hibrid pertama di Malaysia melalui program NTIS.

“Meraque turut terlibat secara langsung dalam inisiatif Pasukan Tindakan Kecemasan Khas Dron (PTK2Dron) yang diselaraskan oleh MOSTI dan
MRANTI bagi memberi bantuan misi menyelamat ketika banjir pada Disember 2021di Selangor, Negeri Sembilan dan Johor,” ujar beliau. – Edisi 9

Terkini

Stoking kalimah Allah: KK Mart akan dipanggil bantu siasatan

POLIS akan memanggil pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan beberapa individu lain bagi membantu...

Lagi Artikel Berkaitan