PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan Selamat Hari Wesak kepada semua penganut agama Buddha di seluruh negara.
Menerusi ciapan di Twitter, beliau mengaitkan sambutan perayaan dengan memperingati tiga peristiwa penting dalam satu perayaan.
“Hari Wesak adalah hari besar buat sahabat-sahabat kita dari kalangan penganut Buddha di mana mereka memperingati tiga peristiwa penting melalui satu perayaan (Trisuci Wesak).
“Perayaan ini bertujuan memperingati lahirnya pendiri ajaran Buddha yakni Pangeran Siddharta Gautama, dan setelah itu mencapai Penerangan Agung pada umur 35 tahun dan kemudian matinya Pangeran Gautama pada umur 80 tahun.
“Penganut Buddha percaya bahawa untuk mencapai kebahagiaan tingkat tinggi atau Nirvana adalah dengan melawan dan membenam sikap keserakahan, kebencian dan kejahatan. Inilah falsafah yang sangat universal yang boleh diteladani dengan cermat,”ujarnya.
Beliau juga berkata, negara dikurniakan pelbagai budaya serta perayaan dan ia seharusnya memberi keinsafan kepada diri individu untuk terus membawa mesej kasih sayang dan keamanan antara satu sama lain.
Tambahnya lagi, bersama persefahaman yang utuh menjadi paksi untuk meghindari kebinasaan dan kepunahan tata hidup masyarakat majmuk di negara ini. – Edisi 9