30.2 C
Kuala Lumpur
Sunday, October 1, 2023

Muhyiddin mohon kes dipindah ke Mahkamah Tinggi

Mesti Baca

Fitri Hazam
Fitri Hazam
Wartawan Edisi 9

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon supaya kes menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi Bersatu dan menerima wang hasil daripada aktiviti haram yang dihadapinya dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Peguam Muhyiddin, Rosli Dahlan memaklumkan permohonan itu difailkan pada 27 April lalu atas alasan kes tersebut melibatkan persoalan undang-undang yang kompleks membabitkan Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, ia perlu dipindahkan dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi,” katanya selepas pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Nur Azizah Jaafar.

Tarikh 31 Mei ini ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya.

Menerusi afidavit sokongannya, Muhyiddin berkata, Mahkamah Sesyen tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan atau memutuskan perkara-perkara yang melibatkan Perlembagaan Persekutuan.

Tambahnya, hanya mahkamah atasan iaitu Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan mempunyai kepakaran untuk memutuskan perkara sedemikian.

“Adalah lebih wajar bagi prosiding itu didengar dan dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi yang mempunyai bidang kuasa, pengalaman luas serta pemahaman undang-undang mendalam untuk menentukan dan memutuskan isu-isu Perlembagaan,” kata Muhyiddin dalam afidavitnya.

Muhyiddin, 75, sebagai Perdana Menteri ketika itu dan Presiden Bersatu didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk mendapatkan suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn. Bhd., Nepturis Sdn. Bhd. dan Mamfor Sdn. Bhd. serta Datuk Azman Yusoff bagi parti itu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009. – Edisi 9

Terkini

MOTAC perlu tingkat produk dan perkhidmatan pelancongan – Anwar Ibrahim

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan harapan yang tinggi kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam meningkatkan...

Lagi Artikel Berkaitan