34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Laporan jalan bermasalah akan diperoleh lebih kerap – Menteri

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MENTERI Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menegaskan, beliau akan mendapatkan laporan status keadaan jalan raya bermasalah dengan lebih kerap daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) pusat dan negeri di seluruh negara bagi memastikan segala perancangan dilaksanakan dengan lancar.

Ini kerana, kata beliau, isu penyelenggaraan jalan ini tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan keselamatan dan nyawa manusia.

“Ia juga digunakan pengguna setiap hari dan hampir setiap masa. Tentu sekali saya memandang serius berkaitan perkara ini,”katanya.

Terdahulu, beliau turun padang melihat sendiri keadaan jalan raya di beberapa kawasan di bandar Johor Bahru yang kerap diadu kepada Kementerian Kerja Raya (KKR).

Antaranya adalah di kawasan Jalan Tebrau di hadapan Hotel Crystal Crown, Jalan Persimpangan Kg Dato Sulaiman dan Persimpangan Kg Majidee.

Beliau yang dukacita melihat keadaan tersebut berkata, benarlah seperti yang diadukan oleh pengguna jalan raya.

“Saya telah memanggil jurutera daerah Johor Bahru untuk mendapatkan penjelasan berkaitan keadaan jalan dan inisiatif JKR Johor Bahru dalam menyelesaikan masalah ini.

“Saya mahu ada tindakan berkesan diambil dalam masa terdekat, bukan lagi membiarkan pengguna terus menerus terpaksa bersabar dengan keadaan sedemikian,”katanya.

Sehubungan dengan itu, menjadi harapan Alexander semua yang terlibat dalam memastikan keadaan jalan raya di dalam keadaan baik, daripada kakitangan kementerian, JKR, agensi mahupun syarikat konsesi yang dilantik untuk menyelenggara, mengambil tanggungjawab ini dengan penuh amanah dan berintegriti.

“Saya mahu melihat ada perubahan dalam cara semua pihak melaksanakan tanggungjawab penyelenggaraan jalan ini.

“Letakkan diri sendiri sebagai pengguna, jika kita rasa selamat dan selesa, pasti pelanggan kita iaitu rakyat juga berasa sedemikian.

“Tapi, jika kita sendiri rasa sebaliknya, jangan hairan mengapa mereka marah dan tidak berpuas hati dengan kerja kita.

“Ingatlah, jangan ambil mudah tugas dan amanah penyelenggaraan jalan kerana akhirnya ia akan membabitkan soal keselamatan dan nyawa…. Nyawa manusia tiada duanya,”ujar beliau. – Edisi 9

Terkini

Lebih 27,000 kandungan provokatif diturunkan sejak awal tahun

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan sebarang penyebaran kandungan provokatif yang...

Lagi Artikel Berkaitan