32.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Jentera parti Kerajaan Perpaduan diperkukuh hadapi PRN

Mesti Baca

Fitri Hazam
Fitri Hazam
Wartawan Edisi 9

KESIAPSIAGAAN jentera di antara parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan sedang diperkukuh bagi memastikan keyakinan rakyat dapat diterjemah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, persiapan diadakan termasuk melalui Konvensyen Perpaduan Negeri, Majlis Pimpinan Perpaduan Kedah 2023 yang dirasmikan beliau di Ampang Business Centre, Alor Setar, hari ini.

Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, antara tumpuan yang diberikan melalui konvensyen itu adalah isu keterjaminan makanan, isu air, pendidikan, peluang pekerjaan dan telekomunikasi yang menjadi wadah konvensyen sebagai sandaran untuk dipilih rakyat negeri Kedah nanti.

“Hari ini, saya amat berbesar hati melihat ramai ahli parti-parti Kerajaan Perpaduan di Negeri Kedah berkumpul di Alor Setar, Kedah bagi membina kesepakatan bersama untuk kerjasama yang padu menempuhi PRN nanti. 

“Konvesyen Perpaduan ini adalah yang pertama diadakan di peringkat Negeri dan saya ucapkan tahniah kepada Negeri Kedah kerana terus mengadakan penyelarasan di peringkat Negeri, selepas berlangsungnya Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia, tempoh hari,” katanya di Facebook hari ini.

Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berharap, platform Konvensyen Perpaduan dapat memperkukuhkan lagi kerjasama antara parti-parti yang membentuk kerajaan pada hari ini.

“Bermusyawarahlah. Perkukuhkan kebersamaan ini hingga ke peringkat akar umbi. Semoga usaha jentera Kerajaan Perpaduan hari ini dapat diterjemah sebaiknya di atas kertas undi. Insya-Allah,” jelasnya. 

Turut hadir sama dalam majlis perasmian konvesyen itu ialah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar dan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Enam negeri yang akan melaksanakan Pilihan Raya Negeri tahun ini iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijangkan akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada penghujung bulan depan.

Manakala PRN dijangka akan diadakan serentak sama ada Julai atau Ogos tahun ini. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan