MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek berharap semua institusi pendidikan bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memberi kerjasama untuk menangguhkan aktiviti luar berikutan cuaca panas serta kering berpanjangan yang sedang melanda negara.
Beliau berkata, aktiviti tersebut termasuk merentas desa, kawad, sebarang sukan dan permainan, perkhemahan serta aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) di luar bilik darjah.
“Mengambil kira cuaca panas dan kering berpanjangan yang sedang melanda negara, institusi pendidikan bawah KPM diminta menangguhkan terlebih dahulu aktiviti luar melibatkan pelajar, guru dan pensyarah.
“Saya menghargai segala usaha dan keprihatinan seluruh warga kementerian di semua peringkat demi kesihatan dan kesejahteraan pelajar serta murid,”katanya dalam satu ciapan di Twitter hari ini.
Baru-baru ini, KPM turut memberikan kelonggaran khas kepada para pelajar dan guru untuk memakai pakaian atau baju sukan yang sopan semasa cuaca panas bagi mengelakkan sebarang komplikasi kepada kesihatan.
Pemakaian tali leher juga tidak diwajibkan bagi murid yang memakai pakaian seragam sekolah. – Edisi 9