MENTERI Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) susulan penggunaan gambarnya dalam iklan palsu.
Menerusi akaun media sosialnya Fahmi memaklumkan, beliau tidak pernah terlibat dalam sebarang skim pelaburan seperti yang terdapat dalam iklan tersebut.
“Saya menerima tangkap layar ini sebentar tadi. Ini adalah palsu!
“Saya tidak pernah mempromosi mana-mana skim pelaburan seperti ini. Saya telah laporkan pada pihak SKMM.
“Sekiranya anda melihat apa jua iklan palsu dan pelaburan yang berunsur penipuan di atas talian, sila laporkan di portal aduan SKMM,” katanya hari ini.
Satu iklan berbayar di media sosial menggunakan akaun bernama Golden Investor dikesan menggunakan gambar Menteri Komunikasi dan Digital.
Iklan tersebut memaparkan satu skim pelaburan patuh syariah kepada orang ramai dan mendakwa kononnya pelabur mampu mendapat hasil pelaburan dalam tempoh tiga jam sahaja. – Edisi 9