26.2 C
Kuala Lumpur
Monday, December 4, 2023

23 anggota SPRM dikenakan tindakan, berhenti kerja

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SERAMAI 23 anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikenakan tindakan tatatertib termasuk diberhentikan kerja kerana terlibat dalam salah laku bagi tempoh 2020 sehingga 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Aduan (JKA) SPRM, Datuk Dr Asariah Mior Shaharuddin berkata, kesalahan tatatertib yang dilakukan oleh anggota termasuk salah laku, cuai, tidak hadir bertugas dan terlibat dengan aktiviti jenayah.

Beliau berkata, daripada jumlah berkenaan,10 anggota diberhentikan kerja kerana terlibat dengan aktiviti jenayah dan majoriti daripada yang dikenakan tindakan tatatertib merupakan anggota baharu SPRM yang berkhidmat kurang daripada 10 tahun.

“Walaupun jumlah yang dikenakan tindakan tatatertib adalah kecil, iaitu 0.3 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota SPRM seramai 2,800 orang, namun ia tidak harus dipandang ringan kerana masyarakat menaruh harapan yang tinggi terhadap SPRM.

“SPRM harus dilihat bersih dan mempunyai anggota yang berintegriti tinggi dan tidak berkompromi dengan sebarang salah laku,” katanya.

Asariah berkata, JKA yang merupakan satu daripada lima jawatankuasa bebas yang ditubuhkan melalui Akta SPRM 2009, bertanggungjawab untuk memantau cara SPRM mengendalikan aduan yang tidak bersifat jenayah terhadap pegawai-pegawainya.

Selain itu, katanya, JKA juga bertindak mengenal pasti kelemahan tatacara kerja yang mungkin menimbulkan sebarang aduan dan mencadang syor yang difikirkan sesuai.

“Sepanjang 14 tahun JKA ditubuhkan sebanyak 31 cadangan penambahbaikan prosedur operasi kerja SPRM telah dikemukakan dan yang terbaru melibatkan kawalan dalaman mengenai keterhutangan kewangan yang serius, kawalan dalaman mengenai kehilangan barang kes dan memperkukuhkan sistem pengurusan aduan dalaman SPRM,” katanya.

Pada masa yang sama, Asariah berpendapat badan pencegah rasuah itu telah menjalankan peranannya dengan baik bagi memupuk sifat integriti dan tata kelola yang baik dalam diri setiap anggotanya.

Beliau berkata, SPRM telah mewujudkan Pelan Antirasuah SPRM 2021-2025 dan Kod Etika dan Tatakelakuan SPRM di samping melaksanakan program-program pengukuhan integriti antaranya menubuhkan Cawangan Hal Ehwal Dalaman pada tahun lepas bagi menyiasat kes jenayah melibatkan pegawai SPRM di bawah Akta SPRM 2009.

“SPRM juga telah mewujudkan Unit Agama dan Kaunseling yang merupakan satu langkah yang baik bagi memberi sokongan kepada anggotanya dari segi moral untuk melaksanakan tugas.

“Terkini, SPRM juga menunjukkan keseriusan dalam memastikan SPRM bebas daripada dadah dan bahan terlarang seperti ketum melalui Arahan Ketua Pesuruhjaya SPRM. Sebarang pelanggaran boleh dikenakan hukuman tatatertib termasuk buang kerja,” katanya. – BERNAMA

Terkini

Lantik Raja Affandi sebagai Ahli Dewan Negara – Shabery

KERAJAAN diminta mempertimbangkan cadangan melantik calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, Jeneral (B) Tan Sri...

Lagi Artikel Berkaitan