KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) menjelaskan tidak menaja tayangan filem “Anwar: The Untold Story” untuk pelajar sekolah di Putrajaya baru-baru ini.
Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan, Atiqah Syairah Shaharuddin berkata, tayangan itu ditaja oleh orang ramai dan sebuah Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
“Ini merupakan inisiatif para penyumbang dan NGO dalam memastikan anak-anak di sekolah mendapat akses pendemokrasian dan pengenalan kepada figura pemimpin negara.
“Kisah ini adalah tentang turun naik, jatuh bangun perjuangan melawan korupsi,”katanya pada hantaran di Facebook memetik laporan Malaysia Gazette.
Atiqah berkata, beliau antara penyumbang majlis tayangan amal filem itu bagi 50 pelajar tingkatan 6 SMK Putrajaya Presint 5 (1) pada minggu lepas.
Terdahulu, Ahli Parlimen Putrajaya, Radzi Jidin melalui akaun Facebooknya semalam memuat naik dua dokumen yang didakwa pekeliling membabitkan tayangan eksklusif filem itu bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta jemputan ke tayangan amal filem berkenaan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur (JBPMKL).
“Sedang viral. ‘The Unsold Story’?,” tulis Radzi yang juga bekas menteri pendidikan di Facebooknya.
Facebook rasmi JBPM juga memaparkan tayangan amal yang berlangsung 20 Mei di GSC IOI City Mall Putrajaya itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan M Noor Azman Taib dan Ketua Pengarah JBPM, Abdul Wahab Mat Yasin.
Filem “Anwar The Untold Story” memulakan tayangannya di pawagam seluruh negara pada 18 Mei lalu. – Edisi 9